Sidang Dewan Rakyat Kembali, Tabung Haji, Keterjaminan Makanan Dan MA63 Jadi Tumpuan

LocalPolitics
5 Oct 2026 • 12:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sidang Dewan Rakyat Kembali, Tabung Haji, Keterjaminan Makanan Dan MA63 Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR - Kelangsungan Tabung Haji (TH), kebergantungan Malaysia terhadap import makanan serta pelaksanaan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara isu utama yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Persidangan kali ini merupakan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-15, dengan Ahli Parlimen turut dijadual membahaskan pelbagai isu berkaitan keselamatan negara, reformasi pendidikan tinggi, dasar penuaan serta pembangunan dan kawal selia kecerdasan buatan (AI).

Pada sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dijadual meminta Perdana Menteri menjelaskan langkah jangka panjang kerajaan bagi memastikan kelangsungan dana TH, termasuk usaha memastikan institusi itu terus membantu rakyat Malaysia menampung peningkatan kos menunaikan haji tanpa menjejaskan pengurusan risiko pelaburannya.

Aspek keselamatan negara dan bantuan konsular turut dijangka mendapat perhatian apabila Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) dijadual bertanya kepada Menteri Luar mengenai usaha memperkukuh sistem pendaftaran rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk cadangan mewajibkan pendaftaran bagi destinasi berisiko tinggi.

Dalam isu sekuriti makanan pula, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dijadual mendapatkan penjelasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai langkah mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang melebihi RM90 bilion pada 2025, selain tindakan menangani lambakan produk dari luar negara.

Pelaksanaan MA63 turut dijangka menjadi antara tumpuan, dengan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) dijadual meminta perkembangan terkini daripada kerajaan Persekutuan berhubung kuasa kawal selia Sarawak terhadap aset minyak dan gas.

Bagi sektor pendidikan tinggi, Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) akan mendapatkan penjelasan mengenai garis masa pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), termasuk cadangan kerangka peralihan susulan pemansuhan akta berkenaan.

Isu lain yang turut tersenarai dalam agenda persidangan termasuk Pelan Tindakan Warga Emas Negara, gesaan di peringkat global supaya pembangunan AI diperlahankan serta perkembangan cadangan Akta AI Malaysia.

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) dijadual membangkitkan isu dasar penuaan kepada Menteri Ekonomi, manakala Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) akan menyoal Menteri Digital mengenai pembangunan dan kawal selia AI.

Dua rang undang-undang, iaitu Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2026, turut dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

Dewan Rakyat juga akan meneliti tiga laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), termasuk perkara berkaitan protokol pengurusan pelarian serta bayaran ikat jamin mahkamah melalui sistem e-Jamin.

Persidangan selama 37 hari itu dijadual berlangsung sehingga 8 Disember ini. - Getaran, 5 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved