Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 1.9% pada April 2024, semua sektor naik bulan kedua berturut-turut - DOSM

28 May 2024 • 2:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 1.9% pada April 2024, semua sektor naik bulan kedua berturut-turut - DOSM

herman

28/05/2024 - 14:21


KUALA LUMPUR 28 Mei - Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, terus meningkat sebanyak 1.9% pada April 2024 berbanding peningkatan 1.6 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sama seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan pada April 2024 dengan perlombongan meningkat 10% (Mac 2024: 8.3%), disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (12.3%) dan pengekstrakan gas asli (3.5%).

Katanya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan juga meningkat 5.4% (Mac 2024: 5.5%), dengan indeks penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan masing-masing naik sebanyak 9.2% dan 2.9%.

"Pada masa yang sama, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan perlahan 0.8% (Mac 2024: 0.6%) disebabkan oleh indeks Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (8.9%).

"Bagi sektor utiliti, indeks bBekalan elektrik & gas meningkat 1.0%, manakala indeks bekalan air mencatatkan peningkatan 7.2%,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

image is not available

Beliau berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.5% berbanding 1.6% pada Mac 2024 dengan sektor perlombongan meningkat 2.1% (Mac 2024: 2.3%), disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (2.7%) dan pengekstrakan gas asli (0.4%).

Sektor pertanian, perhutanan & perikanan juga katanya, meningkat pada kadar lebih perlahan 0.7% berbanding 4.3% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks penanaman tanaman kekal (1.3%).

"Selain itu, sektor pembuatan naik perlahan 0.3% (Mac 2024: 1.3%) disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (1.4%) dan pembuatan produk makanan (1.6%). Sementara itu, indeks bekalan elektrik & gas dan bekalan air masing-masing naik 0.3% dan 1.1%,” ujarnya.

image is not available

Jelas Dr Mohd Uzir, kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) di Bursa Malaysia berlegar melebihi RM4,000 setiap tan berikutan lonjakan harga minyak mentah, di tengah-tengah peningkatan harga minyak pesaing.

Kata beliau, harga buah tandan kelapa sawit juga terus meningkat sejak awal 2024, membawa kepada pertumbuhan positif dalam sektor Pertanian, perhutanan & perikanan.

"Selaras itu, MPOB mengunjurkan harga CPO lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya, dengan harga purata antara RM3,900 hingga RM4,200 setiap tan.

image is not available

"Menurut MPOB, antara faktor yang mempengaruhi pengukuhan harga purata CPO tahun ini adalah bekalan minyak sawit yang dijangka terhad di dunia berikutan pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia.

"Kesannya, minyak sawit menjadi pilihan yang kurang menarik bagi negara pengimport kerana harganya yang lebih tinggi berbanding minyak bunga matahari," jelasnya.

Sementara itu, kata Ketua Perangkawan Malaysia itu, perbandingan dengan negara lain menunjukkan bahawa IHPR Amerika Syarikat meningkat 2.2% pada bulan ini berbanding 1.8% pada Mac 2024.

image is not available

Katanya, IHPR Jepun naik 0.9%, sama seperti bulan sebelumnya, peningkatan berterusan di mana kos meningkat bagi kebanyakan komponen, seperti peralatan pengangkutan, minuman & makanan serta petroleum & arang batu.

"Sementara itu, harga pengeluar China terus menurun 2.5% berbanding kejatuhan 2.8% pada bulan sebelumnya. Ini menandakan penguncupan harga pintu kilang yang kelapan belas bulan berturut-turut sejak November 2022, dikaitkan dengan kejatuhan selanjutnya dalam perlombongan dan bahan mentah.

"Ini menggariskan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan walaupun terdapat pelbagai langkah sokongan daripada kerajaan. IHPR Thailand juga terus meningkat 3.4 peratus (Mac 2024: 2.1%), mencatatkan pertumbuhan positif sejak Januari 2024," katanya.

image is not available

Bercakap mengenai harga komoditi Malaysia yang terpilih, beliau turut menyatakan bahawa, indeks harga minyak mentah berada pada tahap tertinggi seluruh dunia, dua kali lebih tinggi berbanding bulan yang sama 2020.

"Harga bagi beberapa komoditi, khususnya sumber tenaga, mula meningkat pada akhir Februari 2022 selepas Rusia menyerang Ukraine.

"Ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah menaikkan harga komoditi utama seperti minyak dan emas," ujarnya.- DagangNews.com