RHB Investment Bank naikkan harga sasaran Gamuda susulan kejayaan raih kontrak bina pusat data berskala besar
herman
27/05/2024 - 10:21
KUALA LUMPUR 27 Mei - RHB Investment Bank menaikkan harga sasaran (TP) untuk Gamuda Bhd selepas kejayaan memperolehi dua kontrak membina pusat data berskala besar di Elmina, Selangor yang keseluruhannya bernilai hampir RM1.8 billion.
Menurut firma penyelidikan, turut menaikkan harga saham syarikat hartanah dan pembangunan infrastruktur itu ialah penglibatannya dalam banyak projek di taman perindustrian di bawah Sime Darby Property seperti Bandar Bukit Raja, Taman Perindustrian Serenia, Hamilton Nilai City dan Bandar Universiti Pagoh.
"Saranan Beli dikekalkan, dengan TP baharu mencecah RM7.08 sesaham daripada RM6.55 menggunakan kaedah SOP, potensi kenaikan harga saham 17% dan kadar hasil dividen 2% untuk FY24F (Julai).
"Gamuda mengumumkan bahawa ia telah menerima tawaran dua kontrak berkaitan pembinaan pusat data skala besar (kapasiti: sekitar 80MW) di Taman Perniagaan Elmina.
"Satu daripada kontrak tersebut ditawarkan oleh Sime Darby Property bernilai RM815 juta untuk membina, menyiapkan, menguji dan mentauliahkan pusat data tersebut, manakala satu lagi ditawarkan Pearl Computing Malaysia (PCM) bernilai RM929 juta untuk menjalankan kerja-kerja mekanikal, elektrik dan paip untuk pusat data yang sama di Elmina," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut RHB Investment, piaknya menjangkakan margin untung sebelum cukai (PBT) untuk pusat ata berskala besar di Elmina ini akan mencecah antara 10 hingga 12%.
Katanya, Gamuda berjaya mengekalkan kelebihannya dalam projek pusat data dengan menyiapkan pusat data AIMS Cyberjaya Blok 2 (kapasiti 8 MW) dalam masa lapan bulan berbanding 13 bulan pada jangkaan asal.
Katanya, ia dibina menggunakan penyelesaian Sistem Bangunan Berindustri Generasi Seterusnya (IBS).
"Kumpulan ini juga telah menyambung semula operasi di kilang IBS kedua miliknya di Sepang bagi menampung kerja-kerja pembinaan DC dan juga beberapa projek kediaman," jelasnya.
Kata RHB Investment, keseluruhannya Gamuda telah meraih projek membina pusat data bernilai kira-kira RM2.2 billion, termasuk pusat data AIMS Cyberjaya Blok 2 (sekitar RM200 juta) dan Blok 3 (sekitar RM300 juta).
Jelasnya, dari segi tawaran kerja baharu untuk FY24, Gamuda telah meraih kerja bernilai sekitar RM9.3 bilion,termasuk pembinaan stesen jana kuasa air Ulu Padas dengan anggaran harga RM2.5 bilion.
"Kami berpandangan laporan berita mengenai bidaannya di Australia mungkin diumumkan sebelum akhir FY24F (untuk penerowongan Suburban Rail Loop East pakej 2 bernilai kira-kira AUD1.5bn berdasarkan perkongsian 50%)," ujarnya.- DagangNews.com

