Indeks Pelopor catat 110.3 mata pada Mei 2023 - DOSM

Business & Finance
25 Jul 2023 • 2:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indeks Pelopor catat 110.3 mata pada Mei 2023 - DOSM

zulfadli

25/07/2023 - 14:33

KUALA LUMPUR 25 Julai - Indeks Pelopor (IP) Malaysia mencatatkan 110.3 mata pada Mei 2023, menjangkakan prospek ekonomi yang menggalakkan namun dalam sentimen berhati-hati, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penuruan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi IP pada Mei 2023 mencatatkan pertumbuhan negatif yang lebih baik iaitu 1.1% dengan 110.3 mata berbanding negatif 2.7% pada April 2023.

Katanya, prestasi negatif ini disebabkan oleh import benar semi konduktor dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain.

"Sementara itu, prestasi bulanan IP pula bertumbuh sebanyak 1.8%, disebabkan oleh peningkatan lima komponen IP kecuali jangkaan nilai jualan dalam pembuatan (-0.8%) dan penawaran wang benar atau M1 (-0.3 peratus)," katanya dalam kenyataan media di sini.

Mohd Uzir berkata, walaupun kedua-dua indeks menunjukkan peningkatan pada bulan ini, kadar pertumbuhan IP terlicin Mei 2023 masih kekal di bawah aliran 100 mata.

"Sehubungan dengan itu, ekonomi Malaysia dijangka menggalakkan dalam masa terdekat namun perlu mengambil kira cabaran global yang semakin meningkat," katanya.

image is not available

Beliau berkata, bagi keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum pertumbuhan tahunan yang positif sejak September 2021 dengan mencatatkan 3.1% kepada 124.3 mata pada Mei 2023 berbanding 120.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, disumbangkan oleh prestasi yang baik bagi semua komponen.

"Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS turut meningkat 2.5% dengan kapasiti penggunaan dalam pembuatan (1.2%) menyumbang dengan ketara kepada peningkatan ini," katanya. - DagangNews.com