Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia meningkat 4.3% YoY pada November 2025 – DOSM

LocalBusiness & Finance
9 Jan 2026 • 3:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia meningkat 4.3% YoY pada November 2025 – DOSM image is not available liza09/01/2026 - 15:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Jan – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 4.3% tahun ke tahun pada November 2025, didorong oleh momentum positif dalam kesemua sektor, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

IPP terdiri daripada tiga sektor iaitu Perlombongan, Pembuatan dan Elektrik.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata IPP kekal positif pada November 2025 dengan pertumbuhan 4.3% YoY namun sedikit rendah berbanding Oktober 2025 (6%). 

 

Beliau berkata kenaikan ini terutamanya dipacu oleh sektor Pembuatan yang meningkat 4.9% dan sektor Perlombongan meningkat 2.3%.

 

Pengeluaran elektrik meningkat 2.7% berbanding bulan sama tahun sebelumnya, lebih tinggi daripada 1.8% yang dicatatkan pada Oktober 2025. 

 

Namun, jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya, jumlah keseluruhan pengeluaran industri menurun sedikit 1.1%.

 

Pertumbuhan stabil dalam sektor Pembuatan disokong oleh industri berorientasikan eksport, yang meningkat 5.0% berbanding 7.2% pada Oktober 2025. 

 

Beliau berkata pertumbuhan ini terutamanya dipacu oleh embuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang naik 10.7% diikuti pembuatan kelengkapan elektrik meningkat 13.9% serta pembuatan jentera dan peralatan mencatatkan pertumbuhan positif 9.0%.

 

“Prestasi ini sejajar dengan pertumbuhan eksport negara yang lebih perlahan pada 7.0% pada November 2025 berbanding 15.7% pada bulan sebelumnya.

 

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menurun kepada negatif 1.8% daripada positif 0.9% pada Oktober 2025. 

 

“Sementara itu, industri berorientasikan domestik meningkat sederhana sebanyak 4.6% berbanding 4.9% pada Oktober 2025, terutamanya dipacu oleh pembuatan produk prosesan makanan meningkat 9.5% dan pembuatan produk logam yang direka (kecuali mesin dan kelengkapan) meningkat 5.1%,” katanya.

 

Industri berorientasikan domestik pulih kepada 2.3% berbanding negatif 1.2% bulan sebelumnya.

 

Pengeluaran sektor perlombongan pada November 2025 naik lebih perlahan iaitu 2.3%, disumbangkan oleh indeks Minyak Mentah & Kondensat meningkat 4.3% dan indeks Gas Asli naik 1.0%. 

 

Berbanding Oktober 2025, indeks perlombongan merosot 3.1% daripada positif 10.1%. Penjanaan Elektrik meningkat 2.7% YoY, tetapi menurun 3.0% berbanding Oktober 2025.

 

Melihat prestasi beberapa negara lain, IPP mencatatkan pertumbuhan sederhana bagi China (4.8%) dan Singapura (14.3%) pada November 2025. 

 

Vietnam (10.8%), Taiwan (16.4%) dan Korea Selatan (-1.4%) menunjukkan trend peningkatan, manakala Jepun (-2.1%) dan Thailand (-4.2%) mencatatkan penurunan.

 

Merumuskan prestasi IPP bagi 11 bulan pertama 2025, beliau berkata pertumbuhannya lebih perlahan iaitu 3.5% berbanding 3.6% pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com

Terkini standard