liza09/01/2026 - 12:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Jan – Kadar pengangguran di Malaysia mencatat penurunan 2.9 peratus pada November 2025, iaitu paras terendah sejak Disember 2014 dengan bilangan penganggur seramai 518,400 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan ekonomi yang menggalakkan pada bulan tersebut terus menyokong pertumbuhan stabil dalam pasaran buruh.
“Tenaga buruh bertambah sebanyak 0.2 peratus, mencecah 17.61 juta orang manakala bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 17.09 juta orang.
“Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan berhubung Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia November 2025 hari ini.
Daripada jumlah penduduk bekerja, 74.8 peratus dikategorikan sebagai pekerja bergaji merekodkan pertambahan 0.1 peratus kepada 12.78 juta orang.
Bilangan pekerja sendiri juga meningkat 0.3 peratus kepada 3.26 juta orang.
Sektor perkhidmatan terus menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja terutama dalam aktiviti kesihatan, perdagangan borong dan runcit, serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.
Sektor pertanian, pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian turut mencatat peningkatan guna tenaga.
Beliau berkata bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu meningkat 1.6 peratus kepada 237 ribu orang, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat 2.7 peratus kepada 129.9 ribu orang, iaitu 0.8 peratus daripada jumlah penduduk bekerja.
“Bagi penganggur, 79.8 peratus adalah penganggur aktif yang sedang mencari pekerjaan, dengan 64.4 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan.
“Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.1 peratus, manakala belia 15 hingga 30 tahun mencatat 6.1 peratus,” katanya.
Jumlah penduduk di luar tenaga buruh meningkat sedikit kepada 7.22 juta orang, dengan sebahagian besar terlibat dalam kerja rumah atau tanggungjawab keluarga (43.7 peratus) dan bersekolah atau menjalani latihan (40.8 peratus).
Dr. Mohd Uzir berkata DOSM menjangkakan pasaran buruh Malaysia akan kekal stabil dan terus berkembang dengan peluang pekerjaan baharu dalam sektor strategik, sambil kemahiran tenaga kerja dipertingkatkan melalui latihan semula dan pembangunan wilayah yang lebih seimbang. - DagangNews.com
