Indeks pengeluaran perindustrian meningkat 4.3% pada Januari 2024, pertumbuhan tertinggi sejak Mei 2023 – DOSM

Business & Finance
12 Mar 2024 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indeks pengeluaran perindustrian meningkat 4.3% pada Januari 2024, pertumbuhan tertinggi sejak Mei 2023 – DOSM

diyana

12/03/2024 - 12:50

KUALA LUMPUR 12 Mac - Indeks pengeluaran perindustrian (IPP) memulih kepada 4.3% tahun ke tahun pada Januari 2024 didorong oleh pengembangan dalam semua sektor, selepas merekodkan sedikit penurunan 0.03% pada Disember 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan tersebut adalah yang tertinggi dicatatkan sejak Mei 2023, ketika indeks itu naik kepada 4.7%.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IPP diterajui lonjakan 3.7% dalam sektor pembuatan berbanding penurunan 1.4% yang direkodkan sektor berkenaan pada bulan sebelumnya.

Tambahnya, sektor perlombongan mengekalkan trend menaik dengan mencatatkan 5% (Disember 2023: 4.1%) manakala sektor elektrik berkembang pada kadar lebih pantas sebanyak 8.3% (Disember 2023: 4.1%).

Berbanding bulan sebelumnya, IPP meningkat 2% berbanding penyusutan 1.3% yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Pemulihan 3.7% dalam sektor pembuatan pada Januari 2024 dipacu oleh prestasi kukuh industri berorientasikan domestik yang meningkat kepada 8% (Disember 2023: 4.2%), sementara industri berorientasikan eksport kembali kepada pertumbuhan positif 1.6% selepas berada dalam jajaran negatif selama tujuh bulan berturut-turut (Disember 2023: susut 4.1%).

image is not available

“Pengembangan dalam industri berorientasikan domestik didorong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler yang mencatatkan peningkatan 12.1%; diikuti oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan pada 11.9%. Selain itu, pembuatan produk prosesan makanan turut menyumbang dengan kadar pertumbuhan 8.5%,” kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan media hari ini.

Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik kembali meningkat kepada 4.9% berbanding penurunan 1.1% pada Disember 2023.

Sementara itu, prestasi industri berorientasikan eksport disokong terutamanya oleh peningkatan dalam pembuatan produk getah (8.5%); pembuatan produk plastik (7.5%); serta pembuatan kimia dan produk kimia (6.1%).

Beliau berkata, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal juga kembali kepada pertumbuhan positif pada 0.4%, berbanding penurunan 7.2% pada bulan sebelumnya, selari dengan trajektori menaik yang dilihat dalam industri semikonduktor global pada bulan berkenaan seperti yang dilaporkan oleh The Semiconductor Industry Association (SIA).

“Pengembangan tahun ke tahun ini selari dengan prestasi eksport negara yang memulih kepada 8.7% pada Januari 2024, selepas merosot sejak Mac 2023. Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport meningkat marginal 0.2% (Disember 2023: -3.3%),” tambahnya.

Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara lain melonjak pada Januari 2024, termasuk Singapura, Vietnam, Korea Selatan, dan Taiwan, dengan pertumbuhan marginal direkodkan di Amerika Syarikat.

Sebaliknya, walaupun IPP Jepun dan Thailand mengalami penurunan, penyusutan tersebut adalah kurang ketara, menunjukkan negatif yang kecil. - DagangNews.com