Premis perniagaan di Johor catat jumlah kerugian tertinggi RM29.8 juta akibat banjir pada 2023 - DOSM
zulfadli
11/03/2024 - 17:12
KUALA LUMPUR 11 Mac - Negeri Johor mencatatkan jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir yang melanda premis perniagaan, berjumlah RM29.8 juta, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kerugian tertinggi bagi premis perniagaan di Johor adalah daerah Segamat berjumlah RM25.6 juta diikuti daerah Batu Pahat RM3.2 juta.
Beliau berkata, seterusnya adalah Muar dan Tangkak masing-masing dengan kerugian RM0.2 juta.
Katanya, Kelantan merupakan negeri kedua tertinggi bagi kerugian premis perniagaan dengan kerugian RM19.8 juta dan seterusnya Terengganu RM2.9 juta.
"Bagi Kelantan, Pasir Mas adalah daerah tertinggi dengan jumlah RM15.1 juta, diikuti Tanah Merah RM1.7 juta dan Tumpat RM0.9 juta.
"Manakala di Terengganu, kerugian premis perniagaan di daerah Hulu Terengganu berjumlah RM0.9 juta dan diikuti oleh Kuala Nerus RM0.5 juta. Seterusnya adalah Setiu dan Kuala Terengganu masing-masing berjumlah RM0.4 juta," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Uzir berkata, jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir bernilai RM0.8 bilion berbanding RM1 bilion pada 2022 bersamaan 0.04% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.

Beliau berkata, tempat kediaman mengalami kerugian sebanyak RM168.3 juta (2022: RM157.4 juta), kenderaan RM22.3 juta (2022: RM18.8 juta), pembuatan RM10.3 juta (2022: RM8.7 juta), premis perniagaan RM53.2 juta (2022: RM50.3 juta), pertanian RM120.6 juta (2022: RM154.5 juta) dan aset awam dan infrastruktur sebanyak RM380.7 juta (2022: RM636.8 juta).
Mohd Uzir berkata, tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Johor RM15.9 juta, Selangor RM1.8 juta dan Sabah RM1.6 juta.
Katanya, daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di negeri Johor adalah daerah Batu Pahat RM12.3 juta, diikuti oleh Segamat RM1.2 juta dan Muar RM1.1 juta.
"Sementara itu, Petaling di Selangor mencatatkan kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta, manakala daerah selebihnya mengalami kerugian kurang daripada RM0.1 juta. Daerah Kota Marudu merekodkan kerugian tertinggi bagi Sabah RM1.2 juta, diikuti oleh Pitas RM0.3 juta dan Kudat RM0.1 juta.
"Dari segi kerosakan sektor pembuatan, Johor merekodkan kerugian berjumlah RM10.3 juta. Segamat merupakan daerah tertinggi bagi kerugian sektor pembuatan berjumlah RM9.5 juta dan diikuti oleh Johor Bahru RM0.8 juta. Seterusnya adalah Muar dengan nilai kerugian kurang daripada RM100,000," katanya.
Dari segi tempat kediaman, Johor mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM121.9 juta, diikuti Kelantan RM15.4 juta dan Sabah RM11 juta. Bagi negeri Johor, daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah daerah Batu Pahat RM89.2 juta,diikuti Segamat RM18.3 juta dan Muar RM7.1 juta.
Di Kelantan, daerah Pasir Mas merupakan daerah tertinggi bagi kerugian tempat kediaman sebanyak RM11.5 juta, diikuti Tanah Merah RM1.3 juta dan Tumpat RM1 juta.
Seterusnya, daerah Kota Marudu dan Pitas merekodkan kerugian tertinggi bagi negeri Sabah masing-masing berjumlah RM4.8 juta, diikuti daerah Kudat dan Telupid, masing-masing merekodkan kerugian RM0.4 juta. - DagangNews.com

