India perketat keselamatan menjelang protes Parti Lipas

WorldPolitics
16 Oct 2026 • 4:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: India perketat keselamatan menjelang protes Parti Lipas

NEW DELHI: Kawalan keselamatan dipertingkatkan di ibu negara India hari ini menjelang perhimpunan yang dianjurkan gerakan ‘Lipas’ bagi mendesak peletakan jawatan ketua pilihan raya negara itu.

Polis turut memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan lalu lintas susulan perhimpunan berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada siri protes hampir setiap hari sepanjang bulan ini.

Protes itu dianjurkan Cockroach Janta Party (CJP) yang diterajui golongan muda, bersama kumpulan pembangkang dan organisasi pelajar, bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar, meletakkan jawatan berhubung semakan daftar pemilih.

Pengkritik mendakwa proses semakan itu memihak kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Lebih 130 juta pemilih digugurkan daripada daftar berkenaan sepanjang proses semakan itu. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya menafikan dakwaan memihak kepada mana-mana parti dan memaklumkan pemilih yang digugurkan secara tidak wajar boleh mendaftar semula.

BJP pula menuduh pihak lawan cuba menjejaskan demokrasi dengan mempersoalkan proses pilihan raya yang sah tanpa asas.

Pengasas CJP, Abhijeet Dipke, berkata perhimpunan mengibarkan bendera pada Jumaat itu diadakan bagi menyatakan sokongan kepada dua pemimpin parti berkenaan yang ditahan dan dipenjarakan selama lima hari minggu ini.

Kedua-duanya dikenakan tindakan selepas mengadakan demonstrasi di lokasi yang tertakluk kepada larangan perhimpunan.

CJP bersama kumpulan pelajar berhaluan kiri menggesa penyokong berkumpul di Central Park, Connaught Place, kawasan tumpuan beli-belah dan makanan di New Delhi, pada petang Jumaat.

Mereka merancang mengibarkan dan menaikkan bendera kebangsaan sebagai sebahagian daripada perhimpunan itu.

Polis New Delhi menggesa orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan seumpama itu, manakala pihak berkuasa perbandaran mengumumkan pada lewat Khamis bahawa taman berkenaan akan ditutup selama dua hari atas sebab pentadbiran.

Polis berkata, pihaknya boleh membantu sekumpulan individu terpilih untuk membawa bendera kebangsaan dan menyanyikan lagu kebangsaan di lokasi yang sesuai.

Peniaga di kawasan itu pula mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung bagi menghalang perhimpunan berkenaan yang menurut mereka boleh ‘menyebabkan kerugian besar’.

Mereka turut menuntut pampasan atas kerugian yang dialami susulan perhimpunan serupa yang dirancang pada hujung minggu lalu, tetapi digagalkan menerusi operasi keselamatan.

Gerakan ‘Lipas’ muncul sebagai antara cabaran politik utama yang dihadapi Perdana Menteri, Narendra Modi, dan Parti Bharatiya Janata (BJP) sepanjang 12 tahun pemerintahannya.

Awal tahun ini, aksi duduk bantahan selama beberapa minggu oleh penyokong gerakan itu memaksa Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan berhubung kebocoran kertas peperiksaan.- AGENSI

The post India perketat keselamatan menjelang protes Parti Lipas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved