
India Rancang Hantar Angkasawan Ke Bulan Pada Tahun 2040
India dilaporkan sedang merancang untuk menghantar angkasawannya ke bulan menjelang tahun 2040, lapor Daily Mail.
Jika perkara itu berjaya dilakukan, India akan menjadi negara kedua yang berjaya menghantar angkasawan mendarat di permukaan bulan.
Perdana Menteri India, Narendra Modi juga berikrar untuk membina stesen angkasa lepas pertama negaranya dalam tempoh 12 tahun dan menjalankan misi ke Zuhrah dan Marikh.
Apa yang menarik berkenaan misi negara India itu adalah sama ada mereka boleh mengekalkan reputasinya untuk berjimat cermat dalam misi tersebut.
Pada Ogos lalu, India menjadi negara pertama yang berjaya mendaratkan kapal angkasa di kutub selatan satelit di bulan.
Misi itu bukan sahaja bersejarah kepada dunia malah ia juga dikatakan mesra bajet.
Difahamkan, usaha itu menelan belanja kurang daripada separuh perbelanjaan negara Rusia dalam misi mereka dengan bajet USD200 juta (RM953 juta).
Bagaimanapun, misi Rusia itu telah berakhir dengan kegagalan apabila ia terhempas ke bulan beberapa hari sebelum India berjaya mendarat.
Sehingga kini, tiada butiran lanjut didedahkan oleh kerajaan India bagi rancangan pembinaan stesen angkasa dan menghantar angkasawan mereka ke bulan.
Perancangan demi perancangan yang dibuat oleh India cukup jelas menunjukkan betapa mereka serius dalam menjalankan misi angkasa lepas tersebut.
India merahsiakan perbelanjaan misi tersebut
Awal tahun lalu, media sempat bertanyakan kepada pengarah Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) berkenaan bagaimana mereka berjaya mengekalkan kos rendah dalam misi tersebut.
S. Somanath pengarah ISRO berkata bahawa itu adalah rahsia bagi kerajaan India dan beliau tidak akan mendedahkannya.
“Saya tidak akan mendedahkan rahsia sedemikian. Kami tidak mahu orang lain menjadi begitu kos efektif seperti kami,” kata Somanath.
Berbeza dengan Amerika Syarikat, India lebih bersifat berahsia dan tidak berkongsikan maklumat kewangan mereka berkenaan misi tersebut.
Kejayaan misi Chandrayaan-3 dapat dilakukan susulan kegagalan misi Chandrayaan-2 pada tahun 2019 yang lalu.
Beijing sebelum ini mendedahkan bahawa mereka sedang merancang untuk meletakkan taikonautnya di permukaan bulan menjelang tahun 2030.
Sumber: Daily Mail
The post India Rancang Hantar Angkasawan Ke Bulan Pada Tahun 2040 appeared first on Siakap Keli.




