
Rusia Kerah Pesawat Khas, Hantar 27 Tan Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza
Rusia dilaporkan akan menghantar sebanyak 27 tan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Semenanjung Gaza ekoran konflik yang masih berterusan di rantau itu, lapor AA.
Perkara itu diumumkan oleh kerajaan Rusia pada awal pagi tadi bagi membantu penduduk Gaza yang terkesan dengan konflik tersebut.
“Bantuan itu dihantar atas arahan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin dan pihak kerajaan Persekutuan Rusia,” kata kenyataan Kementerian Situasi Kecemasan negara itu.
Kenyataan itu juga mengatakan bahawa sebuah pesawat khas telah berlepas dari Moscow ke lapangan terbang El Arish di Semenanjung Sinai, Mesir.
Pesawat itu dilaporkan membawa bekalan makanan seperti tepung, gula, beras dan pasta.
“Bantuan kemanusiaan Rusia akan diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dihantar ke Semenanjung Gaza,” tambah kenyataan itu.
Gaza kini sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik.
Sementara itu, bekalan seperti air, makanan, bahan api serta perubatan juga dikatakan sudah hampir habis di Gaza.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah menggesa agar gencatan senjata kemanusiaan segera dilakukan bagi kedua-dua pihak.
Ia bagi mengurangkan kerosakan dan “penderitaan manusia”.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 3,478 rakyat Palestin telah terkorban dalam serangan itu, manakala warga Israel yang terkorban seramai 1,400 orang.
Sumber: Anadolu Agency
The post Rusia Kerah Pesawat Khas, Hantar 27 Tan Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza appeared first on Siakap Keli.

