Indira Gandhi gagal cabar enakmen penukaran agama kanak-kanak unilateral

LocalPolitics
12 Jun 2026 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Indira Gandhi gagal cabar enakmen penukaran agama kanak-kanak unilateral
M Indira Gandhi.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Guru tadika, M Indira Gandhi dan 13 yang lain gagal dalam saman pemula (OS) di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, untuk mencabar kesahihan undang-undang syariah di enam negeri dan satu wilayah persekutuan berkaitan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak atau unilateral.

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas mendapati permohonan semua plaintif tidak mempunyai ‘locus standi’ iaitu gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai hak di sisi undang-undang.

Semasa membaca keputusan dalam prosiding yang dibuat secara dalam talian, beliau berkata, plaintif gagal menunjukkan mereka terkesan secara langsung oleh peruntukan yang dipertikaikan itu.

Menurutnya, setiap plaintif gagal menunjukkan kepentingan sebenar atau kesan langsung daripada undang-undang tersebut.

Katanya, kepentingan plaintif pertama iaitu Indira Gandhi, dianggapsebagai akademik kerana isunya telah selesai sepenuhnya dalam keputusan mahkamah tahun 2018.

Beliau berkata, bagi plaintif kedua hingga ke-12 pula, tiada bukti mereka mempunyai kuasa bagi mewakili badan agama atau pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

“Ia termasuk tiada bukti mereka mempunyai anak di bawah umur yang terjejas oleh peruntukan tersebut.

“Bagi plaintif ke-13 dan 14, walaupun mereka merupakan mangsa penukaran unilateral, namun kejadian itu berlaku sebelum keputusan Indira Gandhi 2018.

“Kini mereka telah dewasa dan bebas untuk menentukan pegangan agama sendiri atau memfailkan tindakan lain secara berasingan,” katanya.

Beliau berkata, plaintif gagal menunjukkan yang mereka mempunyai kepentingan untuk mendapatkan perisytiharan antaranya peruntukan undang-undang Islam di tujuh bidang kuasa yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak oleh salah seorang ibu atau bapa yang beragama Islam, tidak berperlembagaan.

Walaupun syarat itu direndahkan dan mereka hanya dianggap sebagai individu serta persatuan yang prihatin terhadap kepentingan awam, Aliza berkata, mahkamah tidak dapat melihat bahawa plaintif mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara ini.

Katanya, mahkamah mendapati kes berkenaan tidak mendedahkan sebarang kontroversi sebenar yang menjejaskan hak plaintif pada masa kini.

Mahkamah bersetuju bahawa, isu penukaran agama tidak boleh diputuskan secara menyeluruh kerana kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak perlu dinilai mengikut kes demi kes.

“Mahkamah memutuskan bahawa plaintif gagal memenuhi syarat ambang locus standi dan permohonan tersebut ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos,” katanya.

Pada Mac 2023, Indira dan 13 yang lain sebagai plaintif, memfailkan saman itu untuk membatalkan penukaran agama secara unilateral di enam negeri dan satu wilayah Persekutuan.

Ia melibatkan Kerajaan Negeri Johor, Perlis, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, serta Wilayah Persekutuan.

Plaintif memohon peruntukan dalam enakmen Islam di negeri-negeri itu dengan alasan ia bercanggah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan dan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada 2018 mengenai penukaran agama secara unilateral.

Perkara 12(4) memperuntukkan bahawa agama seseorang yang berumur 18 tahun ke bawah hendaklah ditentukan oleh ‘ibu bapa atau penjaga’.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa penukaran agama secara sebelah pihak yang dilakukan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan, tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif berhujah bahawa peruntukan tersebut melanggar Perkara 12(4) yang mana istilah ‘ibu bapa’ (salah seorang) hendaklah ditafsirkan sebagai ‘ibu dan bapa’.

Justeru, mereka menghujahkan, kebenaran ibu dan bapa diperlukan dalam kes penukaran agama.

Sehubungan dengan itu, mereka perlu menegaskan bahawa enakmen negeri yang membenarkan penukaran agama secara unilateral harus diisytiharkan terbatal.

Sementara defendan menghujahkan, pihak plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memulakan atau mengekalkan saman tersebut.

Mereka berkata, plaintif perlu menunjukkan kepentingan yang nyata dalam subjek perkara dan prasangka sebenar terhadap hak peribadi mereka.

Katanya, sekadar menyatakan kepentingan awam atau kebimbangan ideologi Adalah tidak mencukupi.

Dalam prosiding ini, defendan pertama (D1) diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Che Rohana Ismail; D2, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Norhayati Ibrahim; D3, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Khairul Azreem Mamat; D4, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal; D6, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Ainul Wardah Shahidan dan D7, Penolong Operasi Undang-Undang Negeri Johor, Muhammad Azzam Zainal Abidin. 

Wilayah Persekutuan selaku D8, diwakili Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali dan Peguam Persekutuan, Imtiyaz Wizni Aufa Othman.

D9, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan D10, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bertindak sebagai pencelah dalam saman pemula itu.

MAIWP diwakili peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, ⁠Arham Rahimy Harir, Muhammad Hariz Md Yusoff, Danial Farhan Zainul Rijal dan Muhammad Isyraf Rusydi Mohd Fauzi sementara MAINJ oleh Mohamed Yasser Mohd Yasin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved