MELAKA – Polis Melaka menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam sebarang permohonan sumbangan seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata bahawa pihaknya menerima satu laporan berhubung penyebaran mesej mengenai penganjuran program dikenali sebagai ‘Kursus Pemantapan Integriti dan Pemanduan Asas (SOP) Cawangan Trafik dan Pengangkutan IPK Melaka Siri 2/2026’.
Menurutnya, hebahan itu memaparkan gambar anggota beruniform, lokasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta kandungan mesej yang mengandungi permintaan sumbangan kewangan termasuk butiran akaun bank.
“Polis mengesahkan bahawa tiada sebarang kursus atau program seperti yang dinyatakan dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana melibatkan penyalahgunaan nama jabatan serta berpotensi mengelirukan orang ramai dan menjejaskan imej pasukan.
“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini dipercayai mempunyai unsur penipuan bagi mendapatkan keuntungan secara tidak sah.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Tegasnya, usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang hebahan di media sosial tanpa pengesahan rasmi serta tidak membuat transaksi kewangan kepada pihak tidak dikenali.






