Menjadi pempengaruh di media sosial bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap usaha untuk menyampaikan ilmu tetap mengundang pelbagai reaksi, termasuk kecaman dan fitnah daripada pihak yang tidak bersetuju. Dalam dunia digital hari ini, semakin besar pengaruh seseorang, semakin besar juga cabaran dan tekanan yang terpaksa ditanggung.
Begitulah yang turut dihadapi oleh Dr. Malar, pempengaruh kesihatan yang dikenali dengan gaya penyampaian yang jujur dan lantang. Beliau pernah menjadi sasaran serangan daripada individu tidak bertanggungjawab yang menyerangnya secara terbuka.
Reaksi tenang meskipun pernah dikecam secara melampau
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook memaklumkan kepada Dr. Malar bahawa salah seorang pentadbir akaun palsu yang pernah memfitnah dan menyunting wajahnya telah meninggal dunia secara mengejut.
Dr. Malar bagaimanapun membalas dengan nada tenang menyatakan dia tidak terkesan dengan berita tersebut dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Baginya, dia sudah berlaku jujur terhadap diri sendiri dan tidak mahu memberi reaksi terhadap perkara itu.
Beliau turut berkongsi pandangan peribadinya secara terbuka:
“Dia rasa dia selamat sebab guna laman palsu. Tapi dia tak sedar Tuhan sedang memerhati. Dia fikir dia selamat sebab dia Islam dan saya kafir. Tapi kita semua tak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti — sama ada sebagai Islam atau kafir, termasuk saya, anda dan mereka.
Hati nurani saya tenang. Niat saya jelas. Sebab itu saya tak takut dan saya tidak akan mudah terkesan.”
Pernah cuba ‘bersara’, tetapi kembali demi masyarakat
Jelasnya, ramai individu pernah menyarankannya mengambil tindakan saman terhadap pihak di sebalik akaun palsu tersebut. Malah, dia mengakui mengetahui identiti sebenar individu terbabit yang merupakan seorang wanita Melayu, beragama Islam, dan bekas penjawat awam.
Namun, katanya jika dia mengambil tindakan saman, dia perlu berulang-alik ke mahkamah dan masa itu akan menjejaskan urusan keluarga serta pengikutnya yang bergantung kepada perkongsiannya.
Justeru, Dr. Malar memilih untuk tidak melayan perkara yang dianggap tidak bermanfaat.
Dr. Malar akui terkesan dengan ‘serangan’ di media sosial
Disebabkan tekanan, Dr. Malar pernah beberapa kali cuba berhenti daripada media sosial. Namun setiap kali berundur, dia tetap menerima mesej bertalu-talu daripada pengikut yang meminta penjelasan, menyebabkan beliau kembali demi memberikan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat.
“Gambar sebegini pernah membuatkan saya murung, hilang semangat, sedih dan menangis berhari-hari. Kadang-kadang lebih teruk dari itu… Tapi apabila pengikut mencari saya, saya terpaksa kembali semula.”
“Kenapa saya? Kenapa bukan orang lain? Kenapa saya yang kena pikul tanggungjawab ini? Soalan ini dah lama saya tanya, tapi saya masih belum dapat jawapan.”
“Saya akan tanya Tuhan apabila saya bertemu-Nya kelak. Sehingga saat itu tiba, saya akan terus menjadi diri saya, dan mereka tidak akan mampu menarik saya ke tahap yang rendah seperti mereka,” ujarnya.
The post Individu yang hina dan guna wajah Dr. Malar meninggal dunia, reaksi beliau buat ramai terdiam appeared first on The Reporter.

![“Makin Menjadi” – Dakwaan 2 Pengemis ‘Tukar Syif’ Minta Sedekah Raih Pelbagai Reaksi [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)

