
Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia akan meminta penjelasan rasmi daripada Google berhubung penutupan lebih 19,000 saluran YouTube yang dikaitkan dengan negara itu.
Tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada siasatan terhadap kegiatan terancang untuk mempengaruhi pandangan orang ramai yang dikaitkan dengan Indonesia.
"Indonesia akan meminta penjelasan rasmi daripada Google dan terus menggalakkan pengurusan penyederhanaan kandungan secara telus, adil serta melindungi kebebasan bersuara seluruh masyarakat," menurut kenyataan rasmi kementerian itu pada Khamis.
Kementerian berkenaan berpandangan laporan Google masih belum memberikan penjelasan mencukupi mengenai jenis akaun yang dikenakan tindakan serta bentuk pelanggaran dikenal pasti.
Indonesia Minta Penjelasan Google Susulan Penamatan 19,000 Saluran YouTube

Laporan itu juga tidak menjelaskan asas yang digunakan Google untuk mengaitkan kegiatan berkenaan dengan Indonesia sehingga menimbulkan beberapa persoalan.
Menurut kementerian, penemuan berskala besar seperti itu memerlukan penjelasan yang boleh disemak bagi memastikan ketepatan maklumat disampaikan kepada orang ramai.
Penjelasan tersebut juga penting bagi mengelakkan kesilapan dalam mengaitkan sesuatu kegiatan dengan pihak tertentu atau membuat tafsiran tidak tepat.
Kementerian turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara sepatutnya dinikmati semua pihak tanpa mengira pandangan atau pendirian terhadap kerajaan.
"Kebebasan bersuara perlu terpakai kepada semua pihak atau mana-mana kumpulan, sama ada yang menyokong mahupun mengkritik kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, kerajaan Indonesia menyokong usaha platform digital membanteras penyebaran maklumat yang dimanipulasi serta kegiatan tidak tulen dalam ruang digital.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan setiap tindakan penyederhanaan kandungan berskala besar perlu dilaksanakan secara telus, adil dan seimbang.
Sebelum ini, Google menerusi Buletin Operasi Pengaruh Suku Ketiga 2026 yang diterbitkan dalam blog rasminya pada 30 Oktober lalu melaporkan penutupan beberapa saluran YouTube.
Baca juga:
“Tiada Rendang Yang Tidak Sedap”, Pakar Kulinari Indonesia Ulas Perbezaan Rendang Malaysia Dan Indonesia
Bola Sepak Eratkan Hubungan, Lelaki Kongsi Kehidupan Masyarakat Di Sempadan Malaysia-Indonesia
Menurut laporan tersebut, sebanyak 19,372 saluran YouTube ditutup sepanjang Julai hingga Oktober 2026 sebagai sebahagian daripada siasatan berkenaan.
Google mendakwa saluran berkenaan menyebarkan kandungan berbahasa Indonesia yang menyokong kerajaan negara itu serta barisan pentadbirannya.
Pada masa sama, saluran terbabit turut didakwa menerbitkan kandungan yang mengkritik individu atau kumpulan yang bersuara menentang kerajaan Indonesia.
Siasatan sama turut menyaksikan penutupan saluran YouTube di beberapa negara lain termasuk China, Rusia, Iran, Perancis, Azerbaijan dan India.
Google menjelaskan bahawa rujukan kepada sesebuah negara dalam laporan itu berdasarkan lokasi kegiatan akaun atau tempat asal rangkaian berkenaan.





