Emas seludup lebih 21 kilogram gagal masuk ke Malaysia

WorldBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 10:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Emas seludup lebih 21 kilogram gagal masuk ke Malaysia

JAKARTA  – Pihak berkuasa Indonesia menggagalkan dua cubaan menyeludup emas seberat 21.8 kilogram (kg) bernilai lebih AS$2.7 juta (RM11 juta) menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Syamsudin Noor di Banjarbaru, wilayah Kalimantan Selatan dalam tempoh seminggu, lapor saluran berita Jakarta Globe.

Ketua Pengarah Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais Indonesia, Djaka Budhi Utama berkata, rampasan itu dilakukan susulan analisis risikan terhadap pergerakan penumpang, khususnya melibatkan mereka yang bersiap sedia untuk berlepas ke Malaysia.

Menurutnya, pegawai kastam memintas penghantaran berkenaan dengan kerjasama pihak berkuasa lapangan terbang sebelum ia sempat dibawa keluar dari wilayah Indonesia.

Djaka turut menyifatkan kes berkenaan sebagai jenayah ekonomi terancang yang mengancam sumber semula jadi serta hasil pendapatan negara republik itu.

“Ini bukan sekadar pelanggaran pentadbiran kastam yang biasa, ini adalah jenayah ekonomi berstruktur apabila sumber semula jadi Indonesia diseludup keluar menggunakan individu tidak bertanggungjawab,” katanya pada  sidang akhbar semalam.

Tambahnya, kegiatan eksport haram itu boleh merugikan hasil negara memandangkan penghantaran emas tertakluk kepada cukai kerajaan, termasuk duti eksport.

Siasatan mendapati suspek menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengaburi mata pihak berkuasa, antaranya menyembunyikan emas di dalam pakaian yang diubah suai, menyorokkannya di celah barangan peribadi, serta menggunakan dokumen palsu.

Sementara itu, kegiatan penyeludupan emas di negara berkenaan dilaporkan menunjukkan peningkatan mendadak.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Indonesia, Suahasil Nazara berkata, pihak berkuasa berjaya menggagalkan 131 cubaan menyeludup logam berharga itu,  membabitkan jumlah keseluruhan 405.1 kg antara Januari hingga Oktober 2026.

Ia merupakan  peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, kerajaan Indonesia memperketat kawalan terhadap penghantaran emas ke luar negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan, menjamin bekalan domestik untuk industri pemprosesan tempatan, serta menyokong agenda pemprosesan nilai tambah mineral negara. – AGENSI

The post Emas seludup lebih 21 kilogram gagal masuk ke Malaysia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved