
BANDUNG: Indonesia, Amerika Syarikat (AS) dan lebih 12 negara sekutu pada Isnin memulakan latihan ketenteraan bersama tahunan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan serta mencegah pencerobohan di rantau Asia-Pasifik.
Jakarta mengekalkan dasar luar berkecuali yang disifatkannya sebagai bebas dan aktif, sambil mengimbangi hubungan diplomatik dengan Washington dan Beijing.
Negara Asia Tenggara itu pada bulan ini mengadakan latihan tentera laut bersama China yang dikecam Taiwan sebagai satu provokasi.
Indonesia, AS dan beberapa negara sekutu menyertai latihan tahunan dikenali sebagai Super Garuda Shield sejak dua dekad lalu.
Latihan tahun ini membabitkan 4,700 anggota tentera dari negara termasuk Britain, Perancis dan Jepun, dengan latihan diadakan di beberapa lokasi termasuk kepulauan Sumatera dan Borneo sehingga 11 September.
Timor-Leste, Itali, Thailand dan beberapa negara lain pula menghantar pemerhati.
Komander Divisyen Infantri Keempat AS, Patrick J. Ellis berkata, latihan itu penting bagi membina jaringan kerjasama yang memastikan Indo-Pasifik kekal selamat.
“Landskap keselamatan Indo-Pasifik adalah kompleks dan tahap kesiapsiagaan tidak boleh ditingkatkan secara mendadak hanya apabila krisis bermula,” katanya di sebuah sekolah ketenteraan di Bandung, timur Jakarta, lokasi latihan itu dilancarkan secara rasmi.
Menurut Ellis, latihan berkenaan turut merangkumi latihan penyusupan pasukan khas serta latihan pertahanan siber.
Indonesia meningkatkan kerjasama pertahanannya dengan AS kepada status ‘Rakan Kerjasama Pertahanan Utama’ pada April lalu.
Ellis berkata, perkembangan itu membuktikan peranan Indonesia, negara demokrasi ketiga terbesar di dunia sebagai tonggak penting kestabilan serantau.
Menteri luar dan pertahanan China dilaporkan turut mengadakan lawatan ke Indonesia bulan ini bagi mengadakan rundingan dengan rakan sejawat mereka, selain mencapai persetujuan untuk memperluas kerjasama politik dan ketenteraan.
Pada penghujung tahun ini, kedua-dua negara dijangka mengadakan latihan ketenteraan bersama dinamakan Heping Garuda, latihan berkala yang memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan, bantuan bencana serta kerjasama antara tentera kedua-dua negara.-AFP
The post Indonesia, AS mulakan latihan perkukuh pertahanan Indo-Pasifik appeared first on Utusan Malaysia.




