Indonesia beri kebenaran rentasi ruang udara bagi operasi pembenihan awan

LocalEnvironment
24 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Indonesia beri kebenaran rentasi ruang udara bagi operasi pembenihan awan

PETALING JAYA: Kerajaan Indonesia memberi kebenaran rasmi kepada Malaysia untuk merentasi ruang udara negara itu bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) melibatkan kawasan di sempadan kedua-dua negara dalam usaha menangani fenomena El Nino dan jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kini sedang merangka jadual operasi sebelum diselaraskan bersama Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI).

“Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Indonesia atas persetujuan dan kebenaran rasmi yang diberikan untuk merentasi ruang udara Indonesia bagi pelaksanaan OPA yang melibatkan kawasan di sempadan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu antara yang dibincangkan melalui panggilan telefon dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Jumhur Hidayat berhubung situasi cuaca panas, fenomena El Nino serta isu jerebu rentas sempadan yang sedang melanda rantau ini.

Menurut Arthur, Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto yang mempergiat usaha memadam kebakaran hutan dan tanah.

Katanya, langkah itu termasuk penambahan 1,500 anggota TNI, penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi kaedah pengeboman air serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif di lapangan.

“Kedua-dua negara turut komited untuk memperhebat tindakan pencegahan dan pemadaman awal memandangkan fenomena El Nino dijangka semakin menguat menjelang Oktober ini serentak dengan Monsun Barat Daya.

“Langkah ini kritikal bagi memastikan kualiti udara bertambah baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 pada 31 Ogos serta Hari Malaysia pada 16 September yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, Malaysia bersedia membantu Indonesia pada bila-bila masa sekiranya bantuan diperlukan, khususnya dalam usaha pemadaman segera kebakaran.
“Sekiranya terdapat keperluan khusus daripada pihak Indonesia, perkara tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mendapatkan ketetapan selanjutnya.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memantau secara rapi pergerakan titik panas dan kualiti udara semasa menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta MetMalaysia.

“Pada masa sama, hubungan erat dengan pihak berkuasa Indonesia akan terus dikekalkan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN

The post Indonesia beri kebenaran rentasi ruang udara bagi operasi pembenihan awan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved