
PUTRAJAYA, 24 OGOS: Malaysia dan Indonesia bersetuju melipatgandakan tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi menangani jerebu rentas sempadan bagi memastikan kualiti udara bertambah baik, terutamanya menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata perkara itu dibincangkan bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia Jumhur Hidayat menerusi panggilan telefon hari ini.
"Memandangkan fenomena El Nino dijangka semakin menguat menjelang Oktober 2026 serentak dengan Monsun Barat Daya, kedua-dua negara komited untuk melipatgandakan tindakan pencegahan dan pemadaman awal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung di Kuching, Sarawak pada 16 Sept.
Arthur berkata kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada Indonesia atas persetujuan memberikan kebenaran rasmi untuk merentasi ruang udara republik itu bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang melibatkan kawasan di sempadan kedua-dua negara.
Beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang merangka jadual operasi untuk diselaraskan bersama Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Selain itu, Arthur berkata atas semangat kejiranan dan solidariti ASEAN, Malaysia bersedia membantu usaha pemadaman segera kebakaran sekiranya diperlukan republik itu pada bila-bila masa.
Beliau berkata sekiranya terdapat keperluan, perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.
"Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas Kerajaan Republik Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo yang melipatgandakan usaha pemadaman kebakaran hutan dan tanah (karhutla).
"Ini termasuk penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia, penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi kaedah water bombing serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif di lapangan," katanya.
Arthur berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memantau rapi pergerakan titik panas dan kualiti udara semasa menerusi Jabatan Alam Sekitar serta MetMalaysia, di samping mengekalkan hubungan erat dengan pihak berkuasa Indonesia demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Setakat 10 pagi ini, sebanyak 10 kawasan di empat negeri merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dengan Serian, Sarawak, mencatatkan bacaan tertinggi dan hampir mencecah kategori sangat tidak sihat.






