Indonesia Catat Kadar Inflasi 0.76 Peratus, Terendah Sejak Tahun 2000

LocalBusiness & Finance
4 Feb 2025 • 12:00 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Indonesia Catat Kadar Inflasi 0.76 Peratus, Terendah Sejak Tahun 2000

NUSANTARA — Indonesia mencatatkan kadar inflasi tahunan pada Januari 2025 sebanyak 0.76 peratus, terendah dalam tempoh 25 tahun, petik Tempo.

Perkara itu maklumkan oleh Pelaksana Tugas Ketua Badan Pusat Statistik (BPS), Amalia Adininggar Widyasanti dalam satu sidang media di Pejabat BPS, Jakarta semalam.

“Inflasi tahunan pada Januari 2025 ini adalah terendah sejak Januari tahun 2000,” ujarnya.

Kata Amalia, BPS mencatatkan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) kepada 105.99 pada Januari tahun ini. Angka tersebut meningkat sebanyak 0.76 peratus berbanding Januari 2024 yang mencatatkan 105.19 mata.

“BPS menyatakan bahawa inflasi tahunan 0.76 peratus pada Januari 2025 dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya inflasi dalam kumpulan makanan, minuman, dan tembakau dengan kadar inflasi 3.69 peratus yang menyumbang 1.07 peratus terhadap keseluruhan inflasi.

“Dalam kumpulan tersebut, komoditi yang menyumbang paling besar kepada inflasi adalah minyak masak dengan 0.14 peratus dan rokok kretek mesin dengan 0.12 peratus. “Komoditi lain yang juga memberikan sumbangan inflasi yang agak besar adalah cili padi, kopi serbuk, dan beras,” katanya lagi.

Selain itu, BPS menyatakan bahawa komoditi lain yang memberikan sumbangan besar terhadap inflasi kali ini adalah emas perhiasan dengan 0.36 peratus. Sementara itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, dan bahan bakar rumah mengalami deflasi yang paling mendalam dengan 1.39 peratus.

Maklum beliau lagi, Indonesia juga mengalami deflasi sebanyak 0.76 peratus secara bulanan, berdasarkan penurunan harga pada Januari 2025 berbanding Disember 2024.

“Berlaku penurunan Indeks Harga Pengguna dari 106.80 pada Disember 2024 menjadi 105.99 pada Januari 2025,” kata Amalia

Mengulas lebih lanjut, Amalia menyatakan bahawa deflasi pada Januari 2025 ini merupakan pertama kali berlaku selepas beberapa bulan terakhir

“Deflasi bulanan pada Januari 2025 ini adalah deflasi pertama selepas kali terakhir berlaku pada September 2024,” katanya.

Terdahulu, pada Januari 2000, inflasi tahunan Indonesia mencatatkan sebanyak 0.28 peratus.

Difahamkan, ketika itu Indonesia mengalami tempoh penurunan harga barang selepas lonjakan harga semasa krisis ekonomi 1998.

Sumber: Tempo.com