
JAKARTA – Indonesia kini berdepan potensi penemuan bersejarah berskala besar selepas Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan (KKP) mengesahkan kewujudan kira-kira 700 lokasi harta karun di perairannya, lapor ANTARA News.
Lokasi Banyak Dikaitkan Dengan Kapal China
Menurut Pengarah Sumber Marin KKP, Frista Yorhanita, hampir 90 peratus lokasi berkenaan dikaitkan dengan kapal-kapal dari China.
“Sebahagian besar lokasi berada sepanjang Laluan Sutera, laluan perdagangan purba yang sering digunakan kapal China, terutamanya di sekitar Sumatera dan Jawa,” katanya.
Nilai Sebenar Masih Belum Dapat Dianggarkan
Frista menjelaskan bahawa nilai sebenar khazanah tersebut belum dapat dipastikan, memandangkan proses penilaian hanya boleh dibuat selepas artifak dinaikkan dan ditaksir secara rasmi oleh Kementerian Kewangan.
“Nilainya belum dapat dianggarkan. Pengiraan kasar tidak boleh dijadikan rujukan kerana barangan ini adalah antik. Ia perlu diperiksa terlebih dahulu, sama ada masih utuh atau sudah rosak, kerana keadaan itu memberi impak besar terhadap nilainya,” jelasnya.
Laporan ANTARA News turut menyebut bahawa KKP bukan sekadar mengenal pasti lokasi tersebut, malah sudah memulakan kerja-kerja pemulihan.
Setakat ini, 13 permit khas telah diluluskan untuk pengambilan muatan kapal karam di beberapa lokasi, dan sebahagian proses salvage itu juga sudah pun diselesaikan. – The Malaysian Update
The post Indonesia Kenal Pasti 700 Lokasi Harta Karun, Potensi Kekayaan Bernilai Besar Menanti appeared first on The Malaysian Update.



