Indonesia Perkenal Lorong Imigresen Yang Tidak Memerlukan Penumpang Berhenti

WorldTechnology
28 Nov 2025 • 12:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Menjadi perkara lazim lorong pemeriksaan imigresen di lapangan terbang mempunyai barisan yang panjang. Sistem kod QR MyBorderPass di Malaysia dan MyICA di Singapura sedikit sebanyak menyelesaikan isu ini. Tetapi jiran kita di Indonesia maju selangkah dengan lorong pemeriksaan imigresen yang langsung tidak memerlukan penumpang berhenti untuk pengesahan identiti.

image is not available

Lorong khas ini mula beroperasi di Lapangan Terbang Jakarta dan Surabaya. Teknologi imbasan wajah digunakan untuk pengesahan identiti penumpang yang menggunakannya. Sebelum tiba ke lapangan terbang, penumpang perlu memasukkan maklumat peribadi ke dalam aplikasi All Indonesia. Pihak imigresen akan terlebih dahulu melakukan pemeriksaan sebelum penumpang tiba ke lapangan terbang.

Di lorong khas ini, wajah penumpang akan dipadankan dengan maklumat yang tersimpan. Setiap lorong boleh memproses sehingga 30+ penumpang dalam masa 1 minit. Pada ketika ini lorong ini hanya dibuka kepada penumpang yang memerlukan bantuan khas seperti mereka yang menggunakan kerusi roda misalnya.

Teknologi Amadeus Seamless Corridors digunakan bagi menguasakan lorong All Indonesia ini. Sebelum ini sistem yang sama hanya digunakan ketika musim haji bagi mempercepatkan proses imigresen jemaah di lapangan terbang Indonesia.