Wanita Indonesia diselamatkan selepas 16 tahun jadi mangsa pemerdagangan manusia

26 Nov 2025 • 3:14 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Imigresen selamatkan wanita Indonesia mangsa pemerdagangan manusia selama 16 tahun di Batu Caves, mangsa tidak dibayar gaji dan didera.

BATU CAVES: Jabatan Imigresen Malaysia menyelamatkan seorang wanita Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selama hampir 16 tahun.

Serbuan dijalankan di sebuah kediaman di Batu Caves, Selangor pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata mangsa berusia 56 tahun itu ditemui bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda.

“Mangsa dilaporkan bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki pas yang sah,” katanya.

Berdasarkan pengakuan awal, mangsa hanya dijanjikan gaji RM600 sebulan namun tidak menerima bayaran sejak dua tahun lepas.

Zakaria berkata mangsa trauma kerana sering dimarah dan pernah dipukul oleh majikan.

Mangsa juga tidak dibenarkan menyimpan pasport, menggunakan telefon bimbit atau menghubungi keluarga.

Beliau menambah mangsa dipaksa bekerja tanpa rehat sehingga terpaksa mencuri masa untuk tidur.

Imigresen menahan majikan mangsa, iaitu lelaki warga tempatan berusia 51 tahun.

Majikan mengaku mendapatkan khidmat wanita itu melalui ahli keluarga terdekat.

Operasi dijalankan oleh pegawai daripada Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran serta Jenayah Pengubahan Wang Haram.

Serbuan dibuat berdasarkan maklumat sumber menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Individu disabitkan bersalah boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat bagi kesalahan lebih berat.

Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan eksploitasi warga asing ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA. – Bernama