
JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan menutup lebih 750 syarikat milik kerajaan (BUMN) menjelang akhir tahun ini sambil mempertimbangkan penubuhan mahkamah khas bagi menyiasat barisan pengurusan yang dianggap tidak produktif.
Presiden, Prabowo Subianto mengumumkan perkara itu dalam ucapan kenegaraan di hadapan Parlimen pada Jumaat.
“Terlalu banyak syarikat milik kerajaan yang tidak produktif, sentiasa melaporkan kerugian tetapi mendakwa memperoleh keuntungan. Keuntungan itu sebenarnya direka-reka,” katanya.
Beliau berkata, selepas penubuhan dana kekayaan berdaulat Indonesia, Danantara tahun lalu bagi mengurus aset negara, pihaknya mendapati terdapat sekitar 1,074 syarikat milik kerajaan.
“Saya menyangka hanya terdapat 300 atau 400 syarikat milik kerajaan, tetapi rupanya ada 1,074 kesemuanya. Syarikat-syarikat ini kadangkala beroperasi sesuka hati tanpa rasa tanggungjawab kepada negara,” katanya.
Katanya, setakat ini, sebanyak 290 syarikat sudah ditutup dan jumlah itu dijangka dikurangkan kepada tidak lebih 300 syarikat menjelang 31 Disember.
“Kami akan menutup lebih 750 syarikat dan hanya mengekalkan yang produktif serta mampu mewujudkan nilai tambah untuk rakyat. Langkah itu berpotensi menjadi penstrukturan korporat terbesar di dunia,” katanya.
Menurut beliau, usaha berkenaan menjimatkan kira-kira 50 trilion rupiah (RM11.4 bilion) dalam kos operasi, termasuk gaji pengarah dan pesuruhjaya, sewaan bangunan serta kenderaan dan perbelanjaan perjalanan.
Sasaran penjimatan bagi tahun ini adalah lebih 70 trilion rupiah (RM16.1 bilion).
Prabowo turut mencadangkan penubuhan mahkamah khas bagi menyiasat pihak pengurusan dan barisan lembaga syarikat berkenaan sejak 30 tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau turut meminta anggota Parlimen mempertimbangkan bentuk pengampunan khas bagi mereka yang mengakui kesalahan mereka.-AFP
The post Indonesia tutup 750 syarikat milik kerajaan menjelang akhir tahun appeared first on Utusan Malaysia.


