
JAKARTA, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Indonesia mewujudkan 477 tempat perlindungan oksigen kecemasan atau “rumah oksigen” di seluruh pusat kesihatan masyarakat, hospital dan kemudahan awam di tujuh wilayah untuk merawat penduduk yang terjejas akibat jerebu toksik daripada kebakaran hutan dan tanah yang berterusan, menurut agensi berita negara Antara.
Ketua Biro Komunikasi dan Penerangan Kementerian Aji Muhawarman berkata pada Rabu, Kalimantan Tengah menempatkan jumlah tertinggi dengan 295 pusat perlindungan, diikuti Kalimantan Selatan (127) dan Kalimantan Barat sebanyak 35.
Menurut data Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam kementerian, kebakaran hutan yang merentasi 65 daerah dan bandar di tujuh wilayah itu menyebabkan 314,124 kes jangkitan pernafasan akut (ARI).
Daripada kes yang dilaporkan, 70,890 melibatkan bayi dan kanak-kanak bawah lima tahun.
Pada 20 Okt sahaja, kementerian merekodkan 3,269 kes pernafasan baharu.
Sebagai tindak balas terhadap lonjakan itu, kementerian telah memperkukuh kesediaan 1,691 pusat kesihatan masyarakat dan 360 hospital serantau.
Rawatan perubatan percuma disediakan untuk penyakit berkaitan kebakaran hutan, termasuk ARI dan cirit-birit, menurut laporan itu.
Kerajaan juga mengedarkan 578,878 bungkusan ubat penting, termasuk sirap batuk, antibiotik dan ubat anticirit-birit, bersama 1,500 kit vitamin dan bekalan kesihatan kecemasan.
Muhawarman berkata kira-kira 3.7 juta N95 dan topeng pembedahan telah dihantar, bersama penumpu oksigen dan peralatan perlindungan diri (PPE).
Lebih 2,600 profesional kesihatan, termasuk pakar perubatan, jururawat dan ahli epidemiologi telah dikerahkan ke kawasan terjejas.
Bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi, terutamanya kanak-kanak, wanita hamil dan orang tua, kementerian bekerjasama dengan pentadbiran tempatan dan pekerja kesihatan masyarakat untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dari rumah ke rumah.


