sarah21/10/2026 - 09:27 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Malaysia mampu menghasilkan sehingga 93% keperluan ayam dan mempunyai lebihan pengeluaran telur, namun di sebalik pencapaian itu, industri ternakan ayam negara masih bergantung hampir sepenuhnya kepada bahan makanan ternakan import, sekali gus mendedahkan sektor berkenaan kepada risiko kenaikan kos dan gangguan bekalan global.
MBSB Research berkata, tahap sara diri jagung negara hanya 0.2%, bermakna 99.8% keperluannya bergantung kepada import, manakala kacang soya dan hampas kacang soya pula hampir 100% diimport, terutamanya dari Brazil, Argentina dan Amerika Syarikat.
Menurut firma penyelidikan itu, walaupun tahap sara diri ayam negara berada antara 91% hingga 93% dan pengeluaran telur mencapai kira-kira 107% daripada keperluan domestik, kebergantungan terhadap bahan mentah import kekal sebagai kelemahan struktur utama industri ternakan ayam Malaysia.
"Pengeluaran ayam domestik yang kukuh menyembunyikan kebergantungan terhadap bahan mentah import. Tahap sara diri produk akhir yang tinggi tidak bermakna keseluruhan rantaian pengeluaran turut mencapai tahap sara diri yang sama," menurut MBSB Research dalam laporan tematik sektor pengguna hari ini.
Firma itu berkata, makanan ternakan merupakan komponen kos terbesar industri, dengan jagung dan hampas kacang soya menyumbang kira-kira 70% daripada keseluruhan kos makanan ayam, manakala bahan mentah merangkumi antara 83% hingga 85% kos pengeluaran kilang makanan ternakan Leong Hup International Bhd.
Kebergantungan tersebut menyebabkan pengeluar tempatan terdedah kepada turun naik harga komoditi antarabangsa, penyusutan nilai ringgit, peningkatan kos penghantaran serta gangguan cuaca di negara pengeksport utama, walaupun permintaan domestik terhadap ayam kekal stabil.
MBSB Research berkata, krisis harga bijirin pada 2021 hingga 2022 membuktikan kesan peningkatan kos makanan ternakan terhadap keuntungan pengeluar apabila margin keuntungan operasi sebelum faedah dan cukai (EBIT) Leong Hup merosot kepada 2.9% pada suku pertama tahun kewangan 2022, sebelum pulih apabila tekanan kos berkurangan dan keadaan harga bertambah baik.
Penternak kecil lebih terdedah kepada tekanan kos
Menurut firma itu, penternak berskala kecil menghadapi risiko lebih besar apabila kos makanan ternakan meningkat kerana mereka mempunyai keupayaan terhad untuk mendapatkan bekalan pada harga kompetitif, mengekalkan inventori dan menyerap kerugian sementara, sekali gus berpotensi menyebabkan pengurangan pengeluaran atau penutupan operasi.
Pada masa sama, MBSB Research berkata, sasaran Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (NAP 2.0) untuk meningkatkan tahap sara diri ayam kepada 140% menjelang 2030 membuka peluang pelaburan dalam ladang pembiakbakaan, pusat penetasan, kilang makanan ternakan, teknologi penternakan automatik dan infrastruktur rantaian sejuk.
Firma itu mengekalkan pandangan 'POSITIF' terhadap sektor ternakan ayam Malaysia bagi jangka sederhana, namun menegaskan bahawa usaha meningkatkan pengeluaran bahan makanan ternakan tempatan, penggunaan teknologi dan kecekapan operasi amat penting bagi mengurangkan kebergantungan import serta memastikan daya tahan bekalan makanan negara dalam jangka panjang. - DagangNews.com





