Kos tinggi, infrastruktur lemah dan risiko kebocoran data halang syarikat Malaysia guna AI – Synology

LocalTechnology
21 Oct 2026 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos tinggi, infrastruktur lemah dan risiko kebocoran data halang syarikat Malaysia guna AI – Synology Image from: Kos tinggi, infrastruktur lemah dan risiko kebocoran data halang syarikat Malaysia guna AI – Synology sarah21/10/2026 - 16:15 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kos pelaksanaan yang tinggi, infrastruktur teknologi yang tidak mencukupi serta kebimbangan terhadap keselamatan data menjadi antara sebab utama syarikat di Malaysia masih teragak-agak untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI), walaupun menyedari potensinya untuk meningkatkan produktiviti perniagaan.

 

Pengurus Negara Synology Inc Malaysia, Jason Sin berkata, banyak perusahaan berminat melaksanakan AI tetapi tidak mempunyai perancangan jelas mengenai aplikasi yang diperlukan atau proses operasi yang boleh ditambah baik, selain mendapati sistem penyimpanan data sedia ada tidak mampu menampung beban kerja teknologi berkenaan.

 

Menurutnya, penggunaan AI memerlukan akses data berprestasi tinggi, sedangkan sebahagian perusahaan masih bergantung kepada sistem penyimpanan konvensional yang tidak direka untuk menyokong pemprosesan data berskala besar.

 

Beliau berkata, kos perkakasan seperti pemacu keadaan pepejal (SSD) yang tinggi serta kekangan bekalan turut menyukarkan perusahaan meningkatkan kapasiti sistem mereka, terutama apabila pelaburan tambahan diperlukan sebelum AI dapat digunakan secara berkesan.

 

Dapatan tinjauan Synology menunjukkan 70% responden di Malaysia menganggap keselamatan dan privasi data sebagai cabaran utama penggunaan AI, diikuti masalah kualiti dan ketersediaan data sebanyak 42%, manakala 40% menyatakan data syarikat mereka bertaburan dalam pelbagai sistem.

 

Pada masa sama, lebih 90% responden mengakui kepentingan infrastruktur yang bersedia menyokong AI bagi meningkatkan kecekapan aliran kerja dan produktiviti, sekali gus menunjukkan wujud jurang antara kesedaran terhadap teknologi itu dengan keupayaan untuk melaksanakannya.

 

“Apabila perniagaan mengembangkan infrastruktur data mereka, mereka juga perlu mempunyai keyakinan bahawa perkhidmatan penting dapat dipulihkan sekiranya berlaku gangguan,” kata Jason sempena acara tahunan media Synology 2026 di Kuala Lumpur hari ini.

 

Beliau berkata, risiko pendedahan maklumat sulit turut menjadi kebimbangan apabila perusahaan menghubungkan data perniagaan kepada model bahasa besar (LLM) pihak ketiga tanpa kawalan dan tadbir urus data yang mencukupi.

 

Malah, tinjauan itu mendapati hampir 40% responden Malaysia tidak mempunyai keterlihatan terhadap cara data yang dimasukkan ke dalam alat AI pihak ketiga dikendalikan, manakala kira-kira 68.6% mengutamakan infrastruktur hibrid atau sistem di premis sendiri berbanding hanya 12.5% yang memilih awan awam.

 

Dalam aspek keselamatan siber, hanya 26.4% responden sangat yakin terhadap keupayaan mereka pulih dengan cepat daripada serangan perisian tebusan (ransomware) sambil memastikan data sandaran dilindungi, walaupun 74% menyatakan keyakinan secara keseluruhan.

 

“Apabila syarikat boleh mempercayai cara data mereka diurus dan dilindungi, mereka berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menterjemahkan inisiatif AI kepada hasil perniagaan yang berkekalan,” katanya.

 

Sehubungan itu, Synology memperkenalkan beberapa penyelesaian pada 2026 termasuk sistem penyimpanan PAS7700, platform perlindungan data ActiveProtect serta aplikasi AI menerusi Synology Office Suite, dengan tumpuan kepada pengurusan data, keselamatan siber dan penggunaan AI yang lebih terkawal dalam operasi perusahaan.

 

Synology merupakan syarikat teknologi yang menyediakan rumusan pengurusan dan penyimpanan data, perlindungan maklumat serta keselamatan siber untuk perusahaan dan organisasi. Syarikat itu turut menawarkan infrastruktur data yang menyokong penggunaan kecerdasan buatan (AI), termasuk sistem penyimpanan berprestasi tinggi, rumusan sandaran dan pemulihan data serta aplikasi produktiviti berasaskan AI, bagi membantu perniagaan mengurus dan melindungi maklumat mereka dengan lebih berkesan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved