BACHOK - Ramai menganggap ikan hiasan sekadar hobi, namun industri tersebut sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan apabila mencatat nilai pengeluaran lebih RM8 juta di Kelantan setakat tahun ini.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ismail Ibrahim berkata, industri ikan hiasan merekodkan pengeluaran sebanyak 468,673 ekor dengan nilai RM8.05 juta melibatkan 47 penternak aktif.
Menurut beliau, potensi besar sektor berkenaan dapat dilihat melalui harga pasaran sesetengah spesies yang mencecah ribuan ringgit seekor.
"Ramai tidak tahu ikan hiasan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Sebagai contoh, ikan Arowana yang dipamerkan pada pesta ini berharga RM3,800 seekor.
**media[3539421]**
"Bagi pertandingan pula, ikan Betta boleh mencecah RM250 seekor manakala ikan Guppy bernilai antara RM500 hingga RM700 sepasang," katanya ketika ditemui pada Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini pada Rabu.
Pesta berkenaan dirasmikan oleh Exco Pertanian Industri Agro Makanan dan Komuniti, Datuk Tuan Saripuddin Tuan Ismail.
Ujar beliau, penganjuran pesta julung kali itu bertujuan memperkenalkan industri ikan hiasan kepada masyarakat selain menarik lebih ramai usahawan menceburi bidang akuakultur yang berpotensi tinggi.
**media[3539419]**
Katanya lagi, walaupun program Jabatan Perikanan sebelum ini lebih tertumpu kepada pengeluaran ikan makanan, industri ikan hiasan kini muncul sebagai segmen yang semakin berkembang dan mempunyai pasaran tersendiri.
"Minat terhadap ikan hiasan semakin meningkat. Ia bukan sahaja menjadi hobi, malah boleh berkembang menjadi sumber pendapatan kepada penternak dan pengusaha.
"Kita mahu masyarakat melihat industri ini sebagai satu peluang ekonomi kerana permintaannya sentiasa ada, termasuk bagi spesies premium," katanya.
Menurut beliau, pesta berkenaan turut menghimpunkan komuniti peminat ikan hiasan dari seluruh negeri menerusi pertandingan yang menjadi platform mempamerkan baka berkualiti tinggi.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, industri akuakultur Kelantan secara keseluruhan mencatat pengeluaran 23,048.45 tan metrik bernilai lebih RM236 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025.
"Ketika ini terdapat 990 penternak ikan makanan aktif di seluruh Kelantan melibatkan spesies utama seperti keli, patin dan tilapia merah.
"Ini menunjukkan sektor akuakultur negeri terus berkembang dan memberi sumbangan penting kepada ekonomi serta bekalan makanan negara," katanya.

