PASIR PUTEH - Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India dan Bangladesh ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan selepas dipercayai menempuh perjalanan selama seminggu dari negara asal untuk memasuki Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan yang dijanjikan.
Mereka terdiri daripada lapan warga India iaitu lima lelaki, tiga wanita serta dua warga Bangladesh membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun.
Kesemua mereka dipercayai membayar ejen antara RM5,000 hingga RM12,000 seorang untuk dibawa masuk ke negara ini.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Kamal Mohamad berkata, seorang daripada PATI warga India yang ditahan bersama isterinya didapati fasih berbahasa Melayu dan dipercayai pernah memasuki Malaysia sebanyak dua kali sebelum ini.
Menurut beliau, kesemua PATI itu ditahan pada Selasa lalu sekitar jam 2.13 pagi di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu.
"Siasatan awal mendapati mereka memiliki pasport, namun gagal mengemukakan sebarang rekod perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini sekali gus menimbulkan keraguan terhadap status kemasukan mereka.
"Kesemua mereka kemudian dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Kelantan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini pada Khamis.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati kesemua PATI itu dijanjikan pekerjaan dalam sektor dobi dan cucian kenderaan.
"Mereka menjadikan Thailand sebagai negara transit sebelum dibawa ke lokasi yang dijanjikan di Johor, Selangor dan Pulau Pinang," katanya.






