Industri keluli gesa kerajaan tangani isu lebihan kapasiti, import dan peningkatan kos

LocalBusiness & Finance
5 May 2025 • 4:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Industri keluli gesa kerajaan tangani isu lebihan kapasiti, import dan peningkatan kos

image is not available

05/05/2025 - 16:03

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mei — Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) serta Persatuan Keluli Malaysia (MSA), menggesa kerajaan bertindak segera bagi melindungi industri tempatan daripada isu lebihan kapasiti, peningkatan import tidak adil dan kos tinggi.


Dua badan itu turut memberi amaran yang industri tersebut boleh mengalami risiko kerosakan jangka panjang jika tiada tindakan pantas dilakukan kerana ia menyokong 283,174 pekerjaan dan menyumbang RM28.42 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024,


Mereka juga merujuk kepada undang-undang darurat di United Kingdom (UK) baru-baru ini apabila berlaku proses pengambilalihan British Steel sebagai antara contoh campur tangan oleh pihak kerajaan yang berani bertindak untuk melindungi kepentingan sektor keluli negara.


"Walaupun Jawatankuasa Keluli Bebas (ISC) yang dibentuk kerajaan kita telah mengemukakan pelbagai cadangan dasarnya, namun tiada pula tindakan diambil setakat ini selepas beberapa perbincangan dengan MISIF dan MSA," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.


ISC diwujudkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Januari 2024 sebagai usaha pihak kerajaan bagi menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta menangani isu lama tetapi ia didakwa sebagai tidak begitu berkesan.


MISIF dan MSA katanya, telah mengenal pasti lima isu mendesak serta memerlukan tindakan segera kerajaan dengan paling utama ialah industri itu menghadapi lebihan kapasiti secara kronik dan menghasilkan lebih banyak keluli daripada yang boleh diserap oleh pasaran.


"Isu ini, diburukkan lagi oleh keputusan dasar lalu, yang menimbulkan risiko kepada sektor industri dan pasaran kewangan. Kami menyeru campur tangan kerajaan untuk membantu dalam mengurangkan lebihan kapasiti dan menstabilkan semula pasaran," kata mereka.


Seterusnya isu tindakan negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia telah memperkenalkan langkah perlindungan perdagangan, tetapi pengilang keluli Malaysia pula kekal langsung tidak dilindungi daripada import yang tidak adil daripada kemasukan produk luar.


Sehubungan itu, MISIF dan MSA menggesa MITI untuk mengambil tindakan lebih tegas bagi menghalang Malaysia daripada terus menjadi tempat lambakan keluli asing yang dijual pada harga murah berbanding produk keluaran tempatan sendiri.


"Isu kebimbangan ketiga ialah peningkatan kos tenaga kerana pengeluaran keluli adalah sangat intensif penggunaan elektrik dan kami meminta tarif perindustrian khas bagi membantu harga kekal kompetitif serta menggalakkan pelaburan jangka panjang sektor ini," katanya.


Cabaran keempat pula melibatkan perubahan kawal selia yang akan datang, seperti caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing serta peningkatan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dirancang daripada sifar kepada lima peratus.


Situasi tersebut kata MISIF dan MSA, dijangka boleh memberi tekanan tambahan kepada pihak industri tempatan dan mereka mendesak agar pihak kerajaan dapat menangguhkan pelaksanaan atau mempertimbangkan semula perubahan polisi berkenaan. - DagangNews.com

standard