ISP bangunkan projek pelaburan industri hijau bernilai RM80 juta di Senai

02/05/2025 - 15:29
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 2 Mei — ISP Group memajukan sebuah projek pelaburan industri hijau buat julung kali yang bernilai RM80 juta, dan dinamakan sebagai ISP Victory dengan keluasan 4.13 hektar dalam kawasan perindustrian utama di Senai, Johor.
Projek sulung ini menandakan satu pencapaian strategik penting apabila ISP memulakan pembangunan baharu dari asas bagi Gudang Logistik dan Hab Pembuatan (LWMH) yang pertamanya di selatan Malaysia serta terletak di lokasi cukup strategik.
ISP Victory juga kata syarikat itu, melambangkan peralihan daripada strategi sedia ada yang memberi tumpuan kepada pemerolehan aset industri kepada pembangunan infrastruktur industri baharu dan mampan secara lebih menyeluruh.
"Ia direka bentuk bagi memenuhi peningkatan permintaan ruang industri berteknologi tinggi, dengan pembangunan LWMH merangkumi bangunan dua tingkat berkeluasan binaan kira-kira 24,433 meter persegi," katanya dalam satu kenyataan
Majlis pecah tanah bagi projek itu yang terletak dalam koridor industri Senai, berlangsung hari ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2027, dengan kerja-kerja pembinaan diterajui oleh SLG Construction Sdn Bhd.
Ciri utama termasuk pencahayaan cekap tenaga, susun atur tiang dan konfigurasi unit untuk penyimpanan atau pembuatan ringan, dengan menyasarkan firma multinasional serta perusahaan tempatan mementingkan kecekapan operasi serta pematuhan hijau.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ISP Holding, Eric Ng berkata, projek itu bukan sekadar satu pencapaian pembinaan, malah ia adalah langkah transformasi bagi ISP setelah sekian lama membina portfolio industri melalui pemerolehan aset.
"Kini kami melangkah yakin ke arah pembangunan lapangan hijau untuk membentuk masa depan hartanah industri yang mencerminkan nilai kami sendiri iaitu kelestarian, kecemerlangan operasi dan visi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Pembangunan ini kata beliau, menawarkan keterhubungan sangat baik menerusi Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, serta akses efisien ke Pelabuhan Johor dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua.
Senai juga tambahnya, merupakan sebahagian daripada kawasan liputan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ), yang dijangka merangsang lagi pembangunan aspek perdagangan secara rentas sempadan dan pelbagai aktiviti industri.
“Lokasi strategik Senai, selain asas industri yang kian berkembang pesat, serta jaraknya yang dekat dengan laluan logistik utama menjadikannya landasan terbaik bagi merealisasikan aspirasi industri kami,” tambah Eric.
Johor kata beliau, terus menjadi enjin pertumbuhan utama ekonomi Malaysia, dengan pelaburan dalam sektor logistik, pembuatan dan tenaga boleh baharu dijangka meningkat pesat di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) dan inisiatif Johor Green Deal 2030.
Projek itu turut mencerminkan respons proaktif ISP terhadap seruan kerajaan untuk mencapai kelestarian dalam sektor pembinaan dan industri yang direka dengan kelestarian diterapkan sejak awal, dengan matlamat untuk memperoleh pensijilan GreenRE.
“Kelestarian bukan lagi isu pilihan, ia adalah suatu keperluan pada ketika ini dan dengan membina secara hijau sejak dari hari pertama, kami sudah menetapkan piawaian baharu bagi hartanah industri di Malaysia,” kata beliau.
Fasa pembinaan dijangka merangsang aktiviti ekonomi setempat, mencipta peluang untuk kontraktor, perunding, jurutera, dan pembekal bahan selain pembangunan ini akan menyokong perniagaan baharu dan mendorong penciptaan pekerjaan.
ISP Victory kata Eric, merupakan sebahagian penting daripada strategi ISP memperluaskan kehadiran dalam sektor hartanah industri, dengan beberapa pembangunan sedang dipertimbang di lokasi-lokasi strategik lain di Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com
standard


