Industri media terus tertekan, pengiklan tertarik kepada platform digital dengan teknologi berasaskan data - Kenanga

LocalTechnology
14 Oct 2025 • 2:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Industri media terus tertekan, pengiklan tertarik kepada platform digital dengan teknologi berasaskan data - Kenanga

image is not available

14/10/2025 - 14:52

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Industri media Malaysia kini berdepan tekanan apabila pengiklan semakin tertarik kepada platform digital yang menawarkan keupayaan teknologi canggih dan pengiklanan berasaskan data, kata Kenanga Research.

Katanya, platform seperti TikTok, Facebook, YouTube, Shopee Ads, Google Ads dan Spotify menjadi pilihan utama kerana keupayaannya menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (machine learning) untuk mencapai penonton yang lebih tepat, memaksimumkan jangkauan kempen serta mengukur pulangan pelaburan secara masa nyata.

Firma penyelidikan itu berkata, berbanding media tradisional seperti televisyen, akhbar dan radio kekal bergantung kepada metrik audiens yang lebih umum dan kitaran maklum balas yang perlahan, menjadikannya kurang menarik bagi pengiklan moden yang berorientasikan data.

"Syarikat media tradisional sebahagian besarnya masih kurang mendapat tempat dalam arena pengiklanan digital, yang kini menyumbang kira-kira 70% daripada keseluruhan perbelanjaan pengiklanan (adex) industri.

"Pendedahan mereka secara amnya terhad kepada format pengiklanan asas di portal berita mereka sendiri yang mencerminkan penyesuaian diri yang perlahan terhadap model pengiklanan digital moden," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, walaupun terdapat kelembapan di seluruh industri media tradisional, Media Prima Berhad berjaya mengukuhkan jejak digitalnya dengan mencatatkan sejumlah 8 juta pengunjung unik secara bulanan ke platform digitalnya dan ketinggalan di belakang Google (13.5 juta) dan Microsoft (13.2 juta).

Katanya, mereka menguasai jangkauan yang sangat luas dengan jumlah pengikut media sosial sebanyak 139 juta manakala platform radio digital mencecah 208 juta pendengar.

"Bagaimanapun, operasi digitalnya hanya menyumbang 13% daripada jumlah pendapatannya, menunjukkan potensi besar yang belum dimanfaatkan dalam menjana pendapatan daripada penonton dan pendengar digitalnya yang besar itu," katanya.

Sementara itu firma penyelidikan itu berkata, Astro Malaysia Holdings Berhad menggunakan pendekatan lebih proaktif dengan melancarkan usaha niaga pemasaran digital baharunya, KULT yang membolehkan membolehkan jenama menjalankan kempen yang disesuaikan merentasi keseluruhan ekosistem kandungan ASTRO.

Katanya, dengan memanfaatkan data penonton dan ekosistem pempengaruh dan pencipta kandungan, KULT menawarkan pengiklan model yang didorong oleh prestasi dengan hasil yang jelas dan boleh diukur.

"KULT diwujudkan dengan tujuan merapatkan jurang besar kandungan tradisional Astro dengan keberkesanan iklan digital moden," katanya.- DagangNews.com

standard