amree25/09/2026 - 11:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept — Usaha industri perkapalan ke arah penggunaan bahan api lebih hijau berdepan cabaran besar apabila bekalan metanol hijau global masih terhad, kemudahan pengisian belum mencukupi dan akses kepada pembiayaan hijau terus menjadi kekangan.
Keadaan itu turut menyebabkan banyak pemilik kapal kembali mempertimbangkan gas asli cecair (LNG), walaupun bahan api tersebut bukan penyelesaian sifar karbon sepenuhnya, sekali gus menunjukkan banyak cabaran peralihan kepada bahan api hijau dalam sektor maritim.
Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Mohamed Safwan Othman berkata, kekurangan bekalan metanol menjadi antara halangan utama selepas bahan api itu dilihat sebagai pilihan penting dalam usaha industri bagi mengurangkan pelepasan karbon.
"Lebih 60% tempahan kapal pada 2024 adalah berkuasa metanol, namun trend itu kini berubah apabila lebih banyak kembali kepada LNG kerana bekalan metanol sukar diperoleh di peringkat global," katanya pada Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Hijau 2026.
Selain bekalan bahan api, kos peralihan turut menjadi cabaran kepada pemilik kapal yang mahu mematuhi rangka kerja ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), apabila menyasarkan pelepasan bersih sifar daripada perkapalan antarabangsa menjelang 2050.
Tambah Mohamed Safwan, pemilik kapal mempunyai teknologi untuk beralih kepada bahan api hijau, tetapi kekurangan kemudahan pengisian dan bekalan bahan api yang sesuai menjadi halangan, selain kebimbangan terhadap kos penalti di bawah rangka kerja IMO.

Ujarnya, industri turut memerlukan akses luas kepada pembiayaan hijau, namun pembiayaan sektor perkapalan berdepan cabaran berkaitan Poseidon Principles yang digunakan institusi kewangan dan penanggung insurans marin untuk menilai keselarasan portfolio dengan sasaran iklim.
"MASA sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) sepanjang tahun lalu dan berharap agar dialog sedemikian dapat diteruskan lagi bagi meningkatkan akses industri perkapalan kepada pembiayaan hijau," jelas beliau.
Bagaimanapun, Mohamed Safwan berkata peralihan hijau tidak semestinya memerlukan perbelanjaan modal yang tinggi, sebaliknya kecekapan operasi boleh digunakan sebagai langkah mengurangkan kos. Antaranya, sistem pemantauan mengurangkan penggunaan bahan api lebih 70%.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor, Ahmad Syahrir Ashaari berkata penggunaan bahan api hijau memerlukan perhatian menyeluruh terhadap jenis metanol dan sumber penghasilan, selaras keperluan IMO yang menekankan dari peringkat sumber.
Beliau berkata metanol hijau merupakan antara pilihan ideal namun kos pengeluarannya tinggi dan ketidaktentuan pasaran menimbulkan persoalan sama ada pemilik kapal bersedia membina kapal berkuasa metanol atau ammonia sekiranya kemudahan bunkering tidak tersedia.
"Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) namun sudah mengambil langkah ke arah menyokong penggunaan bahan api rendah karbon apabila memulakan operasi perintis pada 2024 dan melengkapkan operasi pertama bagi kapal kontena dwibahan api metanol milik Maersk," katanya. - DagangNews.com






