PKS dalam sektor semikonduktor disaran perkukuh kapasiti kewangan

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 12:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PKS dalam sektor semikonduktor disaran perkukuh kapasiti kewangan

GEORGE TOWN: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor semikonduktor disaran untuk memperkukuh kapasiti kewangan mereka bagi merebut peluang rantaian bekalan selain meningkatkan pengeluaran serta bergerak ke peringkat pasaran yang lebih tinggi.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, dalam hal ini, akses kepada pembiayaan yang sesuai pada peringkat pertumbuhan syarikat dilihat amat penting terutamanya ketika keperluan pelaburan dalam teknologi dan industri semikonduktor semakin meningkat.

“PKS memerlukan pembiayaan untuk pelbagai tujuan termasuk mengambil pelanggan baharu, meningkatkan kapasiti pengeluaran, membeli peralatan, membangunkan teknologi, mendapatkan pensijilan serta meneroka pasaran baharu.

“Justeru, dalam industri semikonduktor yang teknologinya berkembang dengan pantas dan keperluan pelaburan boleh menjadi besar, akses kepada pembiayaan yang tepat pada peringkat pertumbuhan syarikat adalah kritikal,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pembiayaan PKS MSIA di sini, hari ini.

Menurut beliau, pada masa ini, masih terdapat PKS yang kurang mendapat maklumat mengenai pilihan pembiayaan tersedia selain tidak mengetahui bentuk pembiayaan paling sesuai dengan keperluan perniagaan masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, persidangan berkenaan dianjurkan bagi membantu PKS memahami landskap pembiayaan selain mengetahui langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan keupayaan mereka mendapatkan pembiayaan atau pelaburan.

“Melalui persidangan ini, kita himpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi kewangan, pemain pasaran modal, modal teroka dan ekuiti persendirian termasuk supaya PKS mendapat gambaran lebih luas mengenai pilihan pembiayaan yang tersedia.

“Antara organisasi yang terlibat termasuk Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Maybank, OCBC, UOB, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya.

Tambah beliau, persidangan seperti itu juga membolehkan PKS berinteraksi secara langsung dengan pihak yang memahami mekanisme pembiayaan berbeza serta mendapatkan pandangan mengenai pilihan yang sesuai dengan tahap perkembangan syarikat.

“Ketika Malaysia terus menarik pelaburan kukuh dalam sektor semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E) serta bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai, syarikat tempatan juga perlu berkembang seiring dengan perkembangan itu,” katanya.-UTUSAN

The post PKS dalam sektor semikonduktor disaran perkukuh kapasiti kewangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved