
PETALING JAYA: Industri sawit memperuntukkan hampir RM200,000 menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bagi melaksanakan usaha pemeliharaan dan menjaga habitat orang utan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sumbangan itu membuktikan komitmen industri sawit terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar yang diterjemahkan menerusi tindakan nyata di lapangan.
Menurutnya, antara usaha yang dilaksanakan termasuk penyediaan jambatan orang utan bagi menghubungkan habitat yang terpisah serta sebuah bot rondaan bagi membantu renjer menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan.
“Melalui MPOGCF, industri sawit telah menyumbang hampir RM200,000. Sumbangan tersebut menunjukkan bahawa komitmen terhadap pemuliharaan boleh diterjemahkan kepada tindakan yang nyata di lapangan.
“Antaranya termasuk menyediakan jambatan orang utan bagi menghubungkan habitat yang terpisah serta sebuah bot rondaan untuk membantu renjer menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 (WOD 2026) anjuran MPOGCF di Taman Botani, Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut beliau, usaha berkenaan penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara habitat orang utan, selain memperkukuh keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar.
Sementara itu, katanya, seramai lebih 1,500 peserta menyertai acara larian dan berjalan kaki sempena WOD 2026, sekali gus menjadikannya penyertaan terbesar sejak sambutan berkenaan mula dianjurkan MPOGCF pada 2023.
“Penyertaan hari ini bukan sekadar untuk melengkapkan satu larian. Yuran penyertaan yang dikutip akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Konservasi MPOGCF.
“Sumbangan ini akan digunakan untuk menyokong usaha pemuliharaan orang utan melalui Program Diplomasi Orang Utan (OUDip),” katanya.
Acara utama sambutan itu melibatkan aktiviti Fun Walk sejauh 10 kilometer (km), lima km dan tiga km yang disertai pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Noraini, Program OUDip kini dilaksanakan di Sungai Pin Conservation Area (SPnCA) dalam kawasan perladangan Sawit Kinabalu Group di Kinabatangan, Sabah.
Katanya, Sawit Kinabalu Group telah memperuntukkan kira-kira 2,632 hektar di Sungai Pin Estate sebagai kawasan yang mempunyai Nilai Konservasi Tinggi (HCV), yang dianggarkan menjadi habitat kepada kira-kira 55 ekor orang utan.
“Usaha pemeliharaan orang utan pada masa depan tidak seharusnya tertumpu kepada satu kawasan sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan ke kawasan lain yang dikenal pasti memerlukan perhatian.
“Fokus memang di Sabah, tetapi sudah semestinya ada tempat-tempat lain sekiranya ada. Kita akan pastikan liputan itu lebih luas, bukan hanya tumpuan di satu tempat sahaja,” katanya.
Beliau turut berharap peruntukan tambahan dapat dipertimbangkan menerusi Belanjawan akan datang bagi memperkukuh usaha pemuliharaan berkenaan, selain menggalakkan pembiayaan daripada sektor swasta dan orang ramai.
Sambutan WOD 2026 turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik sektor perladangan termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Turut terlibat ialah Sawit Kinabalu Sdn. Bhd., Jabatan Hidupan Liar Sabah serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada 2023, WOD menjadi program andalan MPOGCF dalam mendidik masyarakat mengenai peranan orang utan sebagai penunjuk kesihatan ekosistem hutan, selain memperkukuh agenda pemuliharaan nasional dan kefahaman terhadap amalan kelestarian dalam industri komoditi negara. – UTUSAN
The post Industri sawit peruntuk hampir RM200,000 pelihara orang utan appeared first on Utusan Malaysia.






