Proton sumbang dron hampir RM200,000 bantu Nepal tangani bencana

Business & Finance
7 Sep 2026 • 2:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Proton sumbang dron hampir RM200,000 bantu Nepal tangani bencana

PETALING JAYA: Proton menyumbangkan sebuah dron bernilai hampir RM200,000 kepada Kerajaan Nepal bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana susulan kejadian banjir yang melanda negara berkenaan baru-baru ini.

Dron berkenaan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di ibu pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti untuk dibawa ke Nepal sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan Malaysia.

Urusan penyerahan diselaraskan oleh NADMA, manakala pasukan SMART akan membantu membawa peralatan berkenaan ke Nepal apabila berlepas bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan.

Dron tersebut akan disumbangkan kepada Kerajaan Nepal dan kekal di negara berkenaan selepas penyerahan bagi digunakan dalam usaha pemantauan serta tindak balas bencana pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Edmund Lim Meng Thong, berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen Proton untuk membantu komuniti yang terjejas apabila sumber dan kepakaran dimiliki syarikat mampu memberikan manfaat bermakna.

“Ketika berdepan sesuatu bencana, gambaran yang jelas mengenai kawasan terjejas amat penting bagi memastikan usaha tindak balas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Dron mampu menyediakan pandangan udara yang amat berguna, terutamanya di lokasi yang sukar atau tidak selamat untuk dimasuki dalam tempoh terdekat,” katanya.

Edmund berkata, pasukan SMART turut menyediakan latihan menyeluruh mengenai pengendalian dron kepada agensi berkaitan di Nepal sebelum penyerahan dilakukan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada Kerajaan Nepal, bukan sahaja dalam usaha kemanusiaan semasa, malah untuk memperkukuh keupayaan tindak balas bencana negara itu bagi jangka panjang,” katanya.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim, selain wakil Kementerian Luar Negeri, Setiausaha Pertama Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah, Choo Hwai Jeng dan Ketua Komunikasi Korporat, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Zul Izwan Hamzah.

Proton turut mempunyai kehadiran di Nepal menerusi pengedar sahnya, Jagdamba Motors, yang mewakili jenama Proton e.MAS.

Perkembangan jenama serta peningkatan keyakinan terhadap Proton di Nepal mendorong syarikat untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam menyokong komuniti tempatan, khususnya ketika berdepan bencana. – UTUSAN

The post Proton sumbang dron hampir RM200,000 bantu Nepal tangani bencana appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved