Industri semikonduktor di Selangor makin kukuh, tarik minat syarikat pelbagai negara

LocalTechnology
15 Sep 2025 • 9:11 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SUBANG JAYA, 15 SEPT: Industri semikonduktor di Selangor khususnya pembangunan reka bentuk litar bersepadu (IC) kini mula menunjukkan hasil yang positif, kata EXCO pelaburan.

Ng Sze Han berkata penglibatan syarikat tempatan dan luar negara antaranya dari China, Australia dan Perancis membuktikan industri itu semakin berkembang sekali gus menyempurnakan ekosistem tersebut.

“Fokus Kerajaan Negeri adalah adalah membina satu ekosistem lebih sempurna bagi industri ini kerana akan beri lebih banyak manfaat penggiat industri.

“Antara usaha yang kita laksana mengatur pertemuan dengan antara reka bentuk litar bersepadu dan pusat data kerana masing-masing ada keupayaan tersendiri selain mengadakan sesi rangkaian,” katanya.

image is not available
EXCO Pelaburan Ng Sze Han bercakap kepada media selepas Festival Remaja Kinrara 2025 di Taman Reakrasi Wawasan, Subang Jaya pada 14 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Ditemui pada perasmian Festival Remaja Kinrara 2025, Sze Han memaklumkan taman kedua reka bentuk litar bersepadu akan dilancar November dengan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Untuk yang kedua di Cyberjaya, saya jangka 12 syarikat juga terlibat dengan industri ini dalam memenuhi permintaan industri semikonduktor yang semakin meningkat,” katanya.

Tahun lalu, Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat termasuk ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China).

Ia bagi membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor di Puchong yang turut melibatkan kerjasama Phison Malaysia dan SkyeChip.

Bakal dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor mulai Jun, pusat itu mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion selain bakal membuka peluang kerjaya dengan tawaran gaji mencecah RM7,000.