Kelington di landasan tepat catat pertumbuhan kukuh dipacu segmen semikonduktor, gas industri dan CCUS - Kenanga

22/08/2025 - 17:12
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kelington Group Berhad berada di landasan kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang dengan pendedahan strategik kepada tiga segmen utama iaitu segmen semikonduktor, gas industri dan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), menurut penganalisis.
Kenanga Research berkata, pendekatan itu menjadikan Kelington sebagai kumpulan yang semakin relevan di tengah peralihan global ke arah teknologi tinggi dan ekonomi rendah karbon.
Katanya, segmen gas industri kekal berdaya tahan disebabkan permintaan LCO₂ yang stabil dan peningkatan campuran eksport, manakala kedudukan aktif dalam CCUS memperluas pilihan pertumbuhan untuk jangka sederhana.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun ketidaktentuan perdagangan dan tarif masih berterusan, pihaknya kekal positif terhadap prospek syarikat.
"Tahap keterlihatan pendapatan kekal kukuh dengan buku pesanan bernilai RM1.82 bilion (RM1.33 bilion masih belum direalisasikan) selepas mencatatkan RM549 juta kontrak baharu dalam 1HFY25.
"Kami mengekalkan unjuran pesanan baharu pada RM1.6 bilion bagi FY25 dan RM1.8 bilion bagi FY26, dengan potensi peningkatan sekiranya pembinaan fasiliti wafer fab di Eropah dipercepatkan," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, RHB Research berkata, limpahan kontrak yang diperoleh dijangka memastikan kumpulan terus sibuk sehingga FY26, dengan kerja-kerja kejuruteraan lanjutan (berkaitan UHP) menyumbang bahagian terbesar sebanyak RM882 juta (66.2%), diikuti oleh kerja kontrak am (RM245 juta/18.4%) dan kejuruteraan proses (RM197 juta/14.8%).
Katanya, termasuk surat hasrat (LOI) yang baru-baru ini diperoleh bagi projek hook-up pertama di Jerman, jumlah kontrak yang dimenangi setakat tahun ini hampir mencecah RM800 juta (2QFY25: RM529 juta).
"Kami percaya pencapaian kontrak bagi tahun ini berpotensi mengatasi jumlah yang dicapai pada FY24, disokong oleh buku tender yang mengagumkan.
"Kelington juga sedang mengintai pasaran Jepun, setelah menubuhkan anak syarikat baharu di negara tersebut," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.40 manakala Kenanga Research mengekalkan saranan "outperform" dengan TP RM5.15 sesaham.- DagangNews.com
standard


