Industri takaful berisiko alami kerugian RM800 juta akibat had sumbangan - MTA

16/04/2025 - 15:36
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 16 April - Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menjangkakan industri takaful bakal berdepan kerugian sehingga RM800 juta susulan langkah sementara yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Langkah itu termasuk had kenaikan sumbangan tahunan untuk produk insurans dan takaful perubatan, iaitu tidak melebihi 10 peratus bagi sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed berkata, langkah tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pengguna, namun memberikan cabaran besar kepada syarikat takaful.
"Kami faham kebimbangan orang ramai terhadap kenaikan sumbangan. Namun, isu utama sebenarnya adalah kos rawatan perubatan yang semakin meningkat," katanya dalam taklimat prestasi industri takaful bagi tahun 2024 seperti laporan New Straits Times.
Menurut beliau, pelarasan sumbangan atau premium adalah sesuatu yang perlu dilakukan bagi menampung peningkatan kos rawatan.
Malaysia kini berada di kedudukan ketiga di Asia dari segi inflasi kos perubatan, yang turut menyumbang kepada peningkatan kos perlindungan insurans kesihatan.
Dalam masa yang sama, Persatuan Insurans Hayat Malaysia turut menjangkakan industri insurans berkemungkinan mengalami kerugian sehingga RM4.5 bilion akibat premium tidak dikutip berikutan pelaksanaan langkah sementara oleh BNM.
Bagaimanapun, Mohd Radzuan kekal optimis bahawa langkah berkenaan akan mendorong industri memperkenalkan produk perubatan yang lebih mampu milik.
"Kami berharap akan ada lebih banyak inisiatif yang membawa kepada pendekatan inovatif untuk menjadikan perlindungan perubatan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia," katanya.
Langkah sementara BNM itu akan berkuat kuasa sehingga akhir tahun 2026, dengan matlamat untuk mengimbangi keperluan akses kepada perlindungan kesihatan yang mampu milik, serta menjamin kelangsungan kewangan penyedia insurans dan takaful. - DagangNews.com
standard
