Scope Industries jual anak syarikat kepada firma Singapura berharga RM96.7 juta

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2025 • 11:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Scope Industries jual anak syarikat kepada firma Singapura berharga RM96.7 juta

image is not available

16/04/2025 - 11:08

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 April - Syarikat yang mencatatkan kerugian, Scope Industries Bhd, mengumumkan penjualan anak syarikat milik penuhnya dalam bidang pembuatan kepada syarikat dari Singapura, Luxshare Precision Singapore Pte Ltd, dengan nilai RM96.7 juta.

Scope berkata, perjanjian telah dimeterai bersama Luxshare untuk menjual keseluruhan pegangan dalam Scope Manufacturers (M) Sdn Bhd (SMSB).

Menurut syarikat, operasi utama Scope selama ini tertumpu dalam sektor pembuatan menerusi SMSB.

"Bagaimanapun, saingan yang semakin sengit serta peningkatan kos pengeluaran telah menjejaskan margin keuntungan, menyebabkan SMSB mencatatkan kerugian bagi tiga tahun kewangan berturut-turut dan juga bagi tempoh enam bulan terkini.

"Penjualan ini dilihat sebagai peluang untuk kumpulan menjana semula nilai daripada perniagaan pembuatan tersebut," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Syarikat itu berkata, daripada hasil jualan sebanyak RM96.7 juta, Scope merancang untuk memperuntukkan RM50 juta bagi mengembangkan perniagaan perladangan, manakala RM23.1 juta akan dibayar sebagai dividen interim khas kepada para pemegang saham.

Jelasnya, baki selebihnya akan digunakan sebagai modal kerja am serta menampung kos berkaitan pelupusan.

Scope menjangkakan keuntungan sebanyak RM24.2 juta hasil daripada transaksi berkenaan, yang dijangka dapat meningkatkan aset bersih dan keuntungan syarikat.

Selepas penjualan selesai, kumpulan akan menumpukan sumber kewangan kepada perniagaan perladangan dan perdagangan.

Syarikat juga bercadang untuk meneroka peluang kerjasama baharu dengan Luxshare melalui segmen perdagangannya.

Penjualan tersebut dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.

Bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024, Scope mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM271,000, berbanding keuntungan bersih RM87,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi lemah itu disebabkan oleh penurunan jumlah jualan dalam segmen pembuatan serta ketiadaan pendapatan daripada segmen perdagangan akibat kekurangan modal kerja.

Pendapatan suku tahunan juga merosot 76% kepada RM9.76 juta berbanding RM41.4 juta sebelum ini. - DagangNews.com

standard