Pelancaran Infinix GT 50 Pro hari ini turut memperlihatkan perkongsian yang sentiasa menjadi persoalan pengguna, iaitu hal berkaitan kemaskini peranti yang sering menjadi perdebatan tanpa henti. Kini, perkara tersebut dijawab dengan pendedahan rasmi daripada Infinix yang mengesahkan bahawa peranti ini akan menerima kemaskini sekuriti selama lima tahun serta sistem Android selama tiga tahun.

Ini merupakan peningkatan yang lebih baik berbanding model sebelumnya iaitu GT 30 Pro yang hanya dijanjikan dengan dua versi Android dan tiga tahun tampalan sekuriti. Langkah ini jelas menunjukkan komitmen Infinix terhadap sokongan jangka panjang, sekaligus memberikan keyakinan tambahan kepada pengguna terhadap ketahanan perisian dan keselamatan peranti mereka.

Infinix GT 50 Pro dilancarkan sebentar tadi dengan padanan spesifikasi berkuasa termasuk skrin 144Hz, cip MediaTek Dimensity 8400, bateri 6500mAh, sistem penyejukan terbina berkuasa serta sokongan pengecasan pantas. Untuk pasaran Malaysia, harga jualan rasmi bermula pada RM1,899 (12GB RAM + 256GB) manakala versi 12GB RAM + 512GB pula dijual pada RM2,199. Menariknya, terdapat juga harga istimewa untuk jualan masa terhad sehingga 10 Mei 2026 iaitu serendah RM1,699 (12/256GB) dan RM1,999 (12/512GB).



