Infinix mengesahkan kehadiran peranti Note 40X 5G baharu di Malaysia melalui kemaskini baharu di laman web rasmi. Dengan slogan kata Bigger Storage, Better Performance jelas memberi bayangan peranti boleh menawarkan kapasiti ruang simpnan yang besar bersama prestasi memadai. Pada masa sama peranti juga dijadualkan memasuki pasaran tempatan pada 1 Ogos 2024.

Meskipun Infinix cuba berteka-teki mengenai perkakasan dalaman peranti secara khusus. Semakan kami mendapati peranti telah mula disenaraikan melalui kedai atas talian rasmi Infinix di Shopee lengkap dengan spesifikasi dan harga jualan. Melaluinya peranti akan dilengkapi skrin sebesar 6.78″ FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Turut disertakan ialah cip Mediatek Dimensity 6300, bateri 5000mAh dengan pengecasan 18W, kamera utama 108MP +2MP makro, pengimbas cap jari sisi dan pembesar suara stereo.

Harga jualannya pula bernilai RM869 sebuah dengan pilihan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Seperti biasa sama-sama nantikan pelancaran rasmi kelak yang sudah tentu terdapatnya promosi menarik yang boleh ditawarkan bersama. Kemaksini selanjutnya juga akan kami kongsi dalam artikel akan datang.

