Infinix memperkenalkan peranti pintar baharu iaitu Note 30 VIP sekaligus melengkapkan lagi barisan produk berkenaan. Ia dipasarkan sebagai sebuah peranti 5G yang dijana cip Dimensity 8050, di samping masih mengekalkan rekabentuk yang sama seperti peranti-peranti di bawah siri Note 30 sebelum ini.

Sistem pengecasan berwayar 68W dan nirwayar 15W menjadi antara fokus utama pada peranti. Ia menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh Infinix dengan kebolehan mengecas bateri 5,000mAh sehingga 80% (secara berwayar) dan 50% (secara nirwayar) dalam masa 30 minit.
Teknologi ini dikatakan mampu memastikan ketahanan tenaga bateri pada Note 30 VIP lebih daripada 80% meskipun selepas 1000 kitaran pengecasan. Sekaligus kalau mengikut perkiraan, peranti dijangka boleh bertahan sehinggga tiga tahun penggunaan secara keseluruhannya.

Selain daripada itu, skrin AMOLED 6.67-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz turut digunakan. Ini dipadankan juga dengan pilihan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Dalam pada itu sistem kamera utama 108MP + 2MP + 2MP dan kamera swafoto 32MP turut disertakan.
Turut melengkapi peranti ini, sistem pembesar suara stereo dengan audio JBL dan penarafan kalis air IP53. Harga jualan peranti ialah $299 (~RM1,381) dengan pilihan warna Magic Black dan Glacier Blue.
