
PETALING JAYA: Kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) negara diunjur kekal stabil bagi baki 2026 ekoran tindakan sebilangan besar pengeluar yang memilih untuk menyerap peningkatan kos input berbanding memindahkannya secara agresif kepada pengguna.
Ahli Ekonomi CGS International (CGSI), Mas Aida Che Mansor mengekalkan unjuran pertumbuhan IHP bagi keseluruhan 2026 pada kadar 1.9 peratus tahun ke tahun selepas inflasi bagi Julai 2026 mencatatkan penurunan sederhana kepada 1.8 peratus berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun, kami memberi amaran bahawa jurang perbezaan antara Indeks Harga Penggeluar (IHPR) yang melonjak 9.2 peratus pada Jun lalu dengan IHP yang kekal sederhana menunjukkan tekanan kos peringkat hulu masih belum dipindahkan sepenuhnya kepada harga barang akhir,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut CGSI, kadar inflasi Julai disokong terutamanya oleh peningkatan harga bagi kumpulan makanan dan minuman yang naik 1.8 peratus tahun ke tahun, manakala subkomponen makanan di luar rumah terus meningkat kepada 2.5 peratus.
Sebaliknya, segmen kemudahan awam dan utiliti mencatatkan peningkatan kepada 1.8 peratus disumbangkan oleh pelarasan kadar surcaj Penyelarasan Bahan Api Automatik (AFA) daripada 2.59 sen/kWh kepada 3.59 sen/kWh.
“Bagi sektor pengangkutan, kadar inflasi mencatatkan penyederhanaan ketara daripada 2.8 peratus pada Jun kepada 1.4 peratus pada Julai, sebahagiannya dibantu oleh pelaksanaan program BUDI Diesel yang mengurangkan kos bahan api golongan yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Aida berkata, risiko kenaikan inflasi kekal ada sekiranya perniagaan mula memindahkan kos hulu secara mendadak atau berlaku ketidaktentuan harga tenaga global.
Firma itu menjangkakan pengukuhan nilai ringgit serta pelbagai langkah bantuan kerajaan termasuk subsidi bersasar dan pemindahan tunai akan terus menjadi benteng kepada perbelanjaan isi rumah.
Dalam pada itu, andaian bagi kadar inflasi teras dijangka kekal terikat pada kadar sederhana sekitar 1.8 peratus dalam tempoh terdekat.
CGSI berpendapat tekanan harga secara keseluruhannya kekal terkawal dan prospek inflasi rendah dijangka berterusan melainkan berlaku lonjakan mendadak pada kos input hulu atau harga komoditi dunia. – UTUSAN
The post Inflasi Julai sederhana, kos input diserap elak lonjakan appeared first on Utusan Malaysia.


