
PETALING JAYA: Lonjakan dalam sektor kecerdasan buatan (AI) yang memacu industri semikonduktor global mendorong CGSI International (CGSI) meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini kepada 5.5 peratus.
Unjuran baharu itu meningkat berbanding 5.0 peratus yang dianggarkan firma penyelidikan berkenaan sebelum ini.
Perkembangan pesat teknologi AI terus memacu peningkatan mendadak eksport elektrik dan elektronik (E&E) negara, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pembuatan dan industri berkaitan.
Penganalis Ekonomi, Mas Aida Che Mansor berkata, prospek industri semikonduktor global kekal menggalakkan berikutan kitaran naik yang diterajui AI, di mana Pertubuhan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia mengunjurkan pasaran semikonduktor global berkembang kira-kira 108 peratus tahun ini.
“Prestasi kukuh pada separuh pertama 2026 (1H2026) menunjukkan bimbang terhadap kelembapan ekonomi secara meluas belum berlaku.
“Eksport barangan E&E yang mantap telah menyokong akaun barangan kekal sihat, dan kami menjangkakan momentum ini akan berterusan pada separuh kedua tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Pertumbuhan berterusan sektor AI itu disokong oleh prestasi KDNK Malaysia suku kedua 2026 yang mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus berbanding 5.8 peratus yang dianggarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi asas pelarasan musiman suku ke suku, ekonomi negara melonjak 2.5 peratus pada suku kedua 2026, mencatatkan kadar pertumbuhan terkuat sejak suku kedua 2022.
Menurut CGSI, pertumbuhan KDNK negara turut didorong oleh permintaan domestik yang kukuh apabila perbelanjaan isi rumah berkembang 1.7 peratus dipacu pasaran buruh yang stabil, aktiviti pelancongan dan bantuan fiskal berterusan.
“Akaun semasa mencatatkan lebihan RM10.8 bilion atau 2.0 peratus daripada KDNK pada suku kedua 2026, berbanding RM15.2 bilion pada suku sebelumnya.
“CGSI mengekalkan unjuran lebihan akaun semasa tahun ini pada 2.1 peratus daripada KDNK.
“Walau bagaimanapun, beberapa risiko luaran kekal diberi perhatian merangkumi penyederhanaan permintaan semikonduktor berkaitan AI, kelewatan pelaburan pusat data serta langkah penjimatan fiskal yang lebih agresif,” tambahnya. – UTUSAN
The post AI diunjur bantu KDNK negara berkembang 5.5% tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.





