Inflasi Masih Degil, BoE Berkeras Kekalkan Kadar Faedah Tinggi UK!

WorldBusiness & Finance
18 Jun 2026 • 10:06 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Inflasi Masih Degil, BoE Berkeras Kekalkan Kadar Faedah Tinggi UK!

Bank of England (BoE) mengekalkan kadar faedah penanda aras United Kingdom (UK) tidak berubah pada paras 3.75% pada hari Khamis. Keputusan ini diambil ketika ahli MPC cuba mengimbangi keperluan mengekang risiko inflasi semasa di samping mendepani prestasi hasil unjuran ekonomi domestik yang hambar.

Keputusan tersebut disokong oleh tujuh daripada sembilan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam mesyuarat bulan Mei, selaras dengan jangkaan penganalisis LSEG.Walau bagaimanapun, ketua ahli ekonomi Huw Pill dan ahli luar Megan Greene menentang  kerana mahukan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 4.0%.

Ekonomi UK sebagai negara pengimport bersih tenaga dilaporkan terdedah kepada kejutan harga susulan implikasi peperangan AS-Iran. Walaupun data inflasi Mei mereda kepada 2.8%, BoE menjangka unjuran harga barangan akan meningkat semula selepas had harga tenaga kawal selia  dijadualkan melonjak 13% pada musim panas ini.

Langkah tunggu dan lihat BoE ini berbeza dengan tindakan agresif bank pusat utama global yang lain. Pada minggu lalu, Bank Pusat Eropah (ECB) bertindak menaikkan kadar faedah ekoran krisis tenaga, disusuli Bank of Japan (BoJ) yang menaikkan kos pinjaman ke paras tertinggi dalam tempoh 31 tahun sebanyak 1.0%.

Walaupun pasaran hadapan menjangkakan unjuran kenaikan kadar BoE menjelang akhir tahun, perkembangan terbaharu perjanjian MoU 14 perkara antara Presiden Donald Trump dan Presiden Masoud Pezeshkian telah membawa sentimen positif. Pembukaan semula Selat Hormuz dijangka meredakan tekanan rantaian bekalan minyak global dan menyekat risiko inflasi lanjutan.