
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Semalam (3 November), media melaporkan berita mengenai penahanan penyanyi rap tempatan, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee kerana disyaki memiliki dan menggunakan dadah di sebuah hotel yang terletak di ibu negara pada 22 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, penyanyi berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang pada hari yang sama.
Hasil pemeriksaan di bilik hotel mendapati sebanyak sembilan biji pil berwarna biru yang disyaki merupakan pil ektasi ditemui dengan anggaran berat 5.12 gram.
Malah, hasil pemeriksaan air kencing mendapati Namewee positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
Walau bagaimanapun, Namewee dalam satu hantaran di Instagram menafikan dirinya memiliki dan mengambil dadah serta penglibatannya dengan kematian influencer Taiwan, Irish Hsieh.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Tahan Namewee Di Hotel, Disyaki Miliki & Ambil Dadah
Polis Klasifikasikan Kematian Influencer Sebagai Kes Bunuh
Terbaharu, polis mengklasifikasikan semula kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan pada 22 Oktober yang ditemui mati dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay lalu sebagai kes bunuh.
Jelas Fadil, kes itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut kes sedang dijalankan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Penyanyi Namewee Akan Ditahan Bantu Siasatan
Difahamkan ketika kejadian, Namewee didakwa turut berada dalam bilik yang sama.
Susulan daripada pertukaran klasifikasi ini, Namewee akan ditahan semula dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Ketika kejadian, penyanyi berusia 42 tahun itu turut berada di dalam bilik hotel berkenaan bersama mangsa.
“Kita akan melihat semua sudut siasatan termasuk pergerakan terakhir mangsa sebelum kejadian. Daripada siasatan yang dijalankan, kita akan tentukan sama ada individu terakhir bersama wanita itu merupakan suspek atau sebaliknya,” katanya.
Polis Masih Tunggu Laporan Bedah Siasat
Tambah Fadil, pihaknya kini masih menunggu laporan bedah siasat dan analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kita telah memanggil beberapa individu termasuk kakitangan hotel dan pasukan keselamatan di lokasi kejadian. Orang awam yang tahu apa-apa berkaitan kes ini boleh tampil ke balai polis berhampiran,” ujarnya.
Pengurus Dakwa Kematian Influencer Akibat Serangan Jantung
Untuk info, Iris Hsieh ditemui terbaring dalam tab mandi pada 22 Oktober lalu kira-kira jam 1.40 tengahari.
Influencer yang mempunyai 540,000 pengikut di Instagram dilaporkan masuk ke negara ini pada 20 Oktober lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan dijadualkan pulang ke Taiwan pada 24 Oktober.
Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan bedah siasat.
Memetik Berita Harian, pengurus Iris mendakwa kematian influencer yang berusia 31 tahun itu dikatakan berpunca akibat serangan jantung namun keluarganya meragui alasan tersebut memandangkan Iris mengamalkan gaya hidup sihat.
Difahamkan, Iris berada di Malaysia untuk bekerjasama dengan Namewee dalam sebuah projek video muzik.
Namewee didakwa berada di hotel dan menghubungi pihak berkuasa apabila Iris tidak kembali dari bilik mandi.
Baca Artikel Berkaitan: Didakwa Buat Muzik Video Kontroversi & Berbaur Sindiran, Namewee Kena ‘Gam’ Di China
Baca Artikel Berkaitan: Namewee Terima Kecaman Hebat, Didakwa Tak Hormat Blackpink Dan Seksualkan Wanita

