hamden11/05/2026 - 18:10 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Mei - Infomina Bhd menerusi anak syarikatnya di Thailand, Infomina (Thailand) Co., Ltd. memperoleh pembaharuan langganan perisian bernilai AS$10.75 juta (RM42.1 juta) daripada Bangkok Bank Public Company Limited (BBL).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pembaharuan kontrak tersebut diterima pada 8 Mei 2026 selepas BBL menandatangani Sebut Harga Jualan Pembaharuan Langganan Perisian bagi tempoh tiga tahun bermula 31 Mac 2026 hingga 30 Mac 2029.
Menurut Infomina, kontrak itu melibatkan penyediaan aplikasi teknologi dan operasi infrastruktur termasuk penyelenggaraan serta perkhidmatan sokongan kepada institusi perbankan terbesar di Thailand itu.
“Perkhidmatan yang disediakan merangkumi pembaharuan lesen perisian, latihan kepada kakitangan pelanggan, penyelenggaraan sistem, pemantauan persekitaran perisian serta sokongan teknikal secara dalam talian dan luar talian,” katanya.
Syarikat itu berkata, nilai kontrak berkenaan akan dibilkan secara berperingkat sepanjang tempoh perkhidmatan.
Selain itu, Infomina TH turut bertanggungjawab menyediakan penyelenggaraan berkala, perkhidmatan pembaikan teknikal secara ad hoc serta pemantauan penggunaan sistem bagi memastikan persekitaran perisian sentiasa dikemas kini dengan versi sokongan terkini.
Infomina berkata, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, syarikat mengakui risiko utama bagi kontrak itu adalah turun naik kadar pertukaran mata wang asing terutama dolar Amerika Syarikat (USD), yang boleh menjejaskan prestasi kewangan dan margin keuntungan kumpulan sekiranya berlaku pergerakan tidak memihak.
Menurut syarikat, penerimaan kontrak itu dibuat dalam urusan biasa perniagaan dan tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam transaksi berkenaan. - DagangNews.com





