Ingkar Caruman KWSP: 14,332 Pengarah Syarikat Dihalang Melancong Luar Negara 

LocalBusiness & Finance
13 Mar 2026 • 7:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Sejumlah 14,332 pengarah syarikat dihalang daripada meninggalkan Malaysia kerana gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja.

Berdasarkan rekod yang dicatatkan sehingga Disember tahun lalu, 2,257 daripada jumlah itu adalah nama baharu yang dikemukakan oleh KWSP kepada Jabatan Imigresen Malaysia antara Januari dan Disember 2025 di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Pada masa sama, 3,530 saman sivil telah difailkan oleh KWSP dan 6,011 tindakan jenayah sudah diambil terhadap pengarah syarikat dan majikan yang gagal membayar caruman KWSP pekerja.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin, berkata,  semua majikan dikehendaki membayar caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP dan mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan, termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara.

Menurut beliau, pasukan penguatkuasaan KWSP sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar mengikut jumlah ditetapkan, tepat pada masanya.

“Pembayaran caruman secara berkala dan tepat pada masanya adalah penting bukan sahaja dalam melindungi hak pekerja, tetapi juga untuk memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas yang kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya di sini hari ini.

Jelas Sazaliza, rangka kerja KWSP juga memastikan majikan memenuhi kewajipan mereka untuk menyumbang kepada simpanan persaraan pekerja.

Tanpa mekanisme berkanun ini katanya, pekerja mempunyai cara yang terhad untuk memastikan majikan masing-masing menyumbang  kepada simpanan persaraan mereka secara konsisten.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, KWSP telah menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan pekerja yang diterima, manakala 12,161 kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang.

“Setiap aduan yang diterima akan disiasat, dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan hak ahli sebagai pekerja sentiasa dilindungi.

“KWSP akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaannya bagi memastikan majikan memenuhi tanggungjawab mereka. Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas bagi melindungi simpanan persaraan ahli, yang kekal menjadi keutamaan kami,” katanya.

Beliau mengulas lanjut, ahli KWSP digesa untuk sentiasa menyemak akaun masing-masing melalui aplikasi i-Akaun KWSP bagi memastikan caruman majikan dikreditkan tepat pada masanya dan dalam jumlah yang betul.

“Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, ahli perlu segera menghubungi majikan mereka untuk pengesahan. Jika majikan gagal membuat caruman yang ditetapkan, ahli boleh menghubungi atau mengunjungi mana-mana pejabat KWSP untuk membuat aduan, berserta dokumen sokongan seperti surat tawaran kerja, slip gaji atau rekod berkaitan yang lain.

“KWSP juga menggalakkan majikan menggunakan platform i-Akaun (Majikan) untuk menyemak senarai pekerja, caruman yang telah dibayar dan sejarah pembayaran. Sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan tunggakan caruman, majikan boleh menghubungi atau datang ke mana-mana pejabat KWSP untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya. – Getaran, 13 Mac 2026