SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat di Selangor ditahan kerana dipercayai bertanggungjawab menyerahkan tanah seluas lebih 3.2 hektar milik 136 pekerja ladang tanpa kebenaran pemiliknya kepada sebuah syarikat pemaju di negeri itu.
Menurut sumber, lelaki warga emas itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada jam 12.30 tengah hari tadi kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan untuk perbuatan sama.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025.
"Dia dipercayai menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan serta kebenaran mereka,” katanya.
Sumber berkata, suspek yang merupakan pemegang amanah bagi tanah seluas lapan ekar itu dipercayai menerima wang rasuah beberapa kali sepanjang tempoh lima tahun.
Malah, suspek juga dipercayai menerima kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
"Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis bagi permohonan reman,” katanya.


